Selasa, 21 April 2009

KITAB PEDOMAN SOLAT OLEH PROF. DR. T.M. HASBI ASH-SHIDDIEQY: SATU PENGENALAN DAN ULASAN TERHADAP HADITH
OLEH: JANNATUL HUSNA
IGB 080008


PENDAHULUAN

Karya yang akan kita perkenalkan kali ini adalah diantara sumbangan tokoh prolifik[1] Indonesia, kitab Pedoman Solat. Kitab ini buah karya T.M. Hasbi Ash-Shiddieqy,[2] ulama Nanggroe Aceh Dar al-Salam, Indonesia. Tokoh kita yang satu ini sungguh amat produktif dalam menulis karya. Tulisannya tidak sahaja terhad kepada satu aspek keilmuan, akan tetapi meliputi pelbagai bidang khazanah Islam. Karyanya yang terbesar ialah di bidang Tafsir al-Quran, dengan terhasilnya kitab Tafsir al-Nur (1956) dan Tafsir al-Bayan (1971). Namun, karyanya di bidang lain tidak kalah besarnya juga, diantaranya ialah bidang Fiqh, Ibadah, 'Ulum al-Quran, Tafsir dan Hadith. Dalam bidang Ibadah, beliau telah menulis kitab Risalah Ash-Shalah atau yang dikenali disini sebagai Pedoman Solat.[3]


Berikut ini akan penulis paparkan tentang beberapa aspek berkaitan dengan kitab Pedoman Solat tersebut; pengenalan kitab, kandungan dan analisis terhadap Hadith-hadith Nabi yang digunakan didalamnya.


PENGENALAN KITAB


Kitab Pedoman Solat yang ditulis oleh T.M. Hasbi Ash-Shiddieqy dicetak untuk kali pertama tahun 1950 di bawah penerbit PT. Bulan Bintang, Jakarta. Kerana manfaatnya yang tampak memberangsangkan bagi kefahaman ibadah ritual umat Islam di Indonesia, kitab ini telah diulang cetak untuk beberapa kali. Cetakan ke-2 tahun 1954, cetakan ke-3 tahun 1956, cetakan ke-4 tahun 1959, cetakan ke-5 tahun 1963, cetakan ke-6 tahun 1965, cetakan ke-7 tahun 1971 dan cetakan ke-8 tahun 1974.[4] Masing-masing edisi percetakan itu sentiasa dikemas kini (direvisi) sesuai keperluan semasa dan permintaan khalayak pembaca. Fakta ini dinyatakan langsung oleh penulis dalam setiap kata pengantar bukunya. Sepanjang pengamatan penulis ketika menuntut di IAIN Imam Bonjol (2002-2006), buku Pedoman Solat karangan Prof. Dr. Hasbi ini juga telah dicetak oleh Rizki Putra Semarang.


Adapun untuk versi bahasa Malaysia, kitab ini justru telah mendapatkan kebenaran (keizinan) daripada PT. Bulan Bintang untuk diterbit dan diedarkan oleh Thinker’s Library Sdn. Bhd. sejak tahun 1986 lagi. Ianya dicetak dengan ISBN 967-69-0076-1.[5] Penerbit ini beralamat di No. 123, Jalan Jasa Tiga, Taman Jasa Sungai Tua, 68100 Batu Caves Selangor Darul Ehsan. Sampai tahun 1996, kitab ini telah menjejaki fase cetakan ke-6, dengan 590 halaman dan mengandungi 27 bab perbahasan. Ini memberikan kesan bahawa, kajian yang didedahkan oleh pengarang dalam buku tersebut menemukan tempat yang bererti dalam hati masyarakat Alam Nusantara.[6]


Meskipun telah mengalami pengubahsuaian bahasa, bagaimanapun penerbit berkenaan masih lagi mengekalkan sebahagian daripada keaslian rasa (zuq) bahasa kitab Pedoman Solat. Salah satu contoh yang boleh kita lihat ialah, ketika pengarang menyebutkan objektif penulisannya:
”...Maka oleh karena shalat adalah sebesar-besar ibadat yang mendekatkan diri pada ’abid dengan ma’budnya, maka perlulah para penuntun untuk memberi nidham yang benar kepada saudara-saudara kita yang mengerjakan shalat...untuk menunaikan sebahagian kewajiban seorang muslim terhadap umat Islam, saya susunlah Risalah ”Ash-Shalah” (Pedoman Shalat) ini. Mudah-mudahan dengan inayat Allah, bermanfaatlah kiranya risalah ini untuk diriku, anak-anakku, keluargaku dan segala saudara yang menghajatinya....”.[7]


Diantara kandungan buku Pedoman Solat tersebut ialah, dimulakan dengan Kalimat Tashdier; yang mengandungi ucapan basmalah, puji-pujian terhadap Allah (tahmid), selawat kepada Rasulullah s.a.w. serta orang-orang yang mengikutinya. Adapun objektif penulisan telah diketahui sepertimana diatas, iaitu untuk mendedahkan tuntunan beribadah bagi khalayak yang memerlukannya. Oleh itu, dimensi pendalilan yang wujud disini tidak begitu terserlah pada awalnya. Pengutipan ayat dan matan hadith pun tidak dipaparkan secara jelas. Derajat-derajat hadith tidak diterakan, akan tetapi pengarang telah menyebutkan dengan mujmal (global) sumber pengambilannya. Agar para guru lebih mudah merujuk kepada sumber yang telah dinyatakan itu.


Pada cetakan ke-3 (1956), pengarang mengakui bahawa perubahan yang besar telah terjadi atas percetakan ketika itu. Dimana telah diterakannya ayat-ayat al-Quran dan Hadith-hadith Nabi s.a.w. Perkara terbabit belum ada sebelumnya. Hal ini memandangkan aspirasi khalayak yang mendapati kesukaran, ketika mereka mau merujuk semula sumber tersebut.


Bagaimanapun—menurut pengamatan penulis—kandungan kitab ini lebih difokuskan kepada perbahasan empirikal-praktis sembahyang. Hematnya, pengarang ingin menyampaikan pesan kepada khalayak pembaca, agar mencapai kesempurnaan sembahyang secara praktikal. Kerana itu, pada percetakan awal, pengarang tidak merasa perlu untuk menyinggung perbahasan yang berhubungkait dengan rukun, sunnah dan syarat-syarat sembahyang secara normatif-teoritikal. Nabi s.a.w. pun tidak mengajarkan tentang; ini rukun, ini sunnah dan seterusnya. Akan tetapi Baginda hanya menyeru umat Islam untuk sembahyang mengikut cara yang diajarkan sebagaimana dalam Sunnahnya. Sabda Rasulullah s.a.w.,
...وَصَلُّوا كَمَا رَأَيْتُمُونِي أُصَلِّي...[8]
"…dan sembahyanglah kamu sebagaimana kamu melihat saya sembahyang…" (HR. Bukhari).
Tetapi metode yang digunakan pengarang mendapat sanggahan daripada masyarakat pembaca. Mereka menginginkan juga, supaya pengarang menandaskan hal-hal berkenaan dengan perkara rukun, syarat, sunat, makruh, mubah dan yang seumpamanya. Banyaknya permintaan pembaca, membuat pengarang harus mengambil berat masalah berkenaan. Pada penerbitan kedua pengarang telah menambahkan perkara yang menjadi tuntutan khalayak pembaca tersebut.[9]


Pada bab pendahuluan, sebelum masuk kepada kaifiyah sembahyang, pengarang sudahpun mendedahkan beberapa isu yang berkembang di dalam kehidupan umat Islam. Isu dimaksud ialah berasaskan kepada kebiasaan umat Islam terhadap sembahyang. Meskipun sembahyang adalah ibadah utama dalam Islam, namun umat Islam sebahagiannya menganggap remeh dan ringan. Kerana itu pengarang menulis tiga golongan umat Islam di tanah air; golongan yang ada bersalat, golongan yang tidak bersalat dan golongan yang kadang-kadang bersalat terkadang tidak.[10]


Masing-masing keadaan tiga golongan umat Islam diatas disebutkan keadaannya. Golongan yang salat; golongan yang salat semaunya sahaja, pengaruh kebiasaan, semata-mata meniru, wuduk dengan tidak sempurna, salat dengan bergegas-gegas dan salat kerana sesuatu keperluan dunia. Golongan yang tidak bersalat; masih terlihat hilir-mudik ketika azan dikumandangkan, anggapan salat itu pakaian orang-orang tua yang telah pencen, hilangnya keinsafan dan kesedaran, tidak pernah melihat orang sekitarnya bersalat dan kalangan yang tidak mempunyai pengetahuan. Golongan yang kadang-kadang salat dan terkadang tidak; pengaruh teman, direpoti oleh urusan dunia kerjaya, dan seribu satu macam alasan dapat diperolehi dan dipaparkan.[11]


Pada bab pertama, pengarang memaparkan masalah yang terkait dengan "Kedudukan Shalat Dalam Rangka Pembinaan Iman". Didalam bab ini terkandung perbahasan: shalat suatu rangka pokok dari iman; shalat syarat diterima iman dan amal; tidak ada iman tanpa shalat.[12] Pada bab kedua pengarang menjelaskan tentang "Martabat Shalat Diantara Martabat-martabat Ubudiyah". Disini telah didedahkan masalah: kedudukan shalat diantara berbagai-bagai macam thaat; beberapa ketetapan al-Quran tentang shalat; beberapa perintah dan pujian Tuhan kepada Nabi-nabiNya, terhadap shalat; keistimewaan-keistimewaan shalat; shalat sesempurna martabat menghambakan diri kepada Allah s.w.t.; ancaman Allah terhadap orang-orang yang meninggalkan shalat; ditolak amal kebajikan karena meninggalkan shalat.[13]


Pada bab ketiga telah dihurai tajuk "Pembahasan-pembahasan Sekitar Shalat", yang melibatkan perbahasan tentang: ta'rif shalat; keindahan shalat melebihi segala shalat yang lain-lain; sebab dinamai shalat; dalil wajib mendirikan shalat; atas siapakah shalat itu difardukan?; shalat anak kecil; arti mendirikan shalat; bilangan shalat yang difardukan.


Sementara itu untuk bab-bab berikutnya telah dijelaskan mengenai: kedudukan khusuk, ikhlas,takut dan hadir hati di dalam shalat; syarat-syarat shalat dan hal-hal yang wajib disempurnakannya; tempat-tempat yang dilarang kita bershalat di dalamnya dan keadaan-keadaan yang dilarang bershalat; waktu-waktu shalat dan rahasia-rahasianya; beberapa hukum-hukum pokok bagi shalat; tata tertib dan adab-adab mendirikan shalat; hikmat-hikmat dan rahasia-rahasia yang dikandungi shalat; kedudukan usaha memakmurkan masjid; adzan shalat dan iqamatnya; shalat jema'ah di masjid; tata tertib mendirikan jama'ah; sujud sahwi, sujud tilawah dan sujud syukur; shalat Jum'at; tata tertib mendirikan shalat Jum'at adab-adab ke Jum'at; shalat hari raya; tata tertib mendirikan shalat hari raya; shalat dalam safar di kala tak ada khauf dan di kala di sertai khauf; shalat dalam safar, shalat khauf dalam safar dan dalam sakit/ketakutan; tuntunan shalat jenazah (shalat mayyit); shalat kusuf, khusuf, ninggalkan shalat.


Pada akhir perbahasannya, pengarang telah menyebutkan beberapa istilah hukum-hakam dalam Islam (Beberapa Ta'rif Istilah Hukum).[14] Selain itu juga telah dicantumkan beberapa istilah Arab dalam "Kamus Kata-kata Arab".[15] Memandangkan perlunya indeks terhadap pengutipan ayat-ayat al-Quran, pengarang telah membuat satu indeks "Daftar ayat-ayat al-Qur'an".[16] Dan terakhir sekali, sumber rujukan penulisan kitab (Mashadir) pun tidak lupa disenaraikan supaya pembaca boleh merujuk semula kepada kitab-kitab berkenaan. Selain Kutub al-Sittah (Kitab Hadith) yang muktabar, dianya juga merujuk kepada kitab-kitab tafsir kenamaan, seperti Tafsir al-Quran al-'Azim susunan Imam Ibn Kathir, Tafsir al-Manar susunan Sayyid Muhammad Rashid Rida, Awdat al-Tafasir oleh Syeikh Muhammad Abd al-Latif, al-Hidayah wa al-'Irfan oleh Syeikh Muhammad Abu Zaid.[17] Cuma ada kesilapan cetak terjadi disini, ketika pengarang menyebutkan bahawa kitab al-Muwatta' susunan al-Imam Ibn Majah. Padahal yang dimaksudkan adalah kitab Sunan Ibn Majah susunan al-Imam Ibn Majah.[18]



ULASAN HADITH


Sebagaimana telah disinggung sebelumnya bahawa pengarang kitab Pedoman Solat tidak menjelaskan Hadith-hadith yang dirujukinya kecuali cuplikan matannya sahaja. Adapun mengenai jalur sanad tidak disinggung, sama ada peringkat sahabat mahupun tingkat periwayat sesudahnya. Namun di sesetengah tempat, pengarang ada menyebut tentang mukharrij Hadith berkenaan. Oleh itu, penulis merasa perlu untuk melihat sekilas mengenai ulasan terhadap Hadith-hadith yang digunakan pengarang. Dari sekian banyak Hadith yang digunakan sebagai dalil, kesempatan ini akan penulis huraikan sebahagian kecil sahaja diantaranya:
No
Analisis/Takhrij Ringkas
Matan Hadith
Halaman
1
Hadith ini diriwayatkan: al-Bukhari,[19] Muslim,[20] Abu Dawud,[21] al-Tirmidhi,[22] al-Nasa'i,[23] Ibn Majah.[24]
إِنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ (قيل: رواه البخاري ومسلم)
149
2
Hadith ini diriwayatkan: Abu Dawud,[25] al-Tirmidhi,[26] al-Nasa'i,[27] Ibn Majah[28]
إِنَّ أَوَّلَ مَا يُحَاسَبُ النَّاسُ بِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ أَعْمَالِهِمْ الصَّلَاةُ (قيل رواه الطبراني عن أنس)
43
3
Hadith ini diriwayatkan: Abu Dawud,[29] al-Nasa'i[30] dan Ahmad[31]
مَنْ تَرَكَ ثَلَاثَ جُمَعٍ تَهَاوُنًا بِهَا طَبَعَ اللَّهُ عَلَى قَلْبِهِ (قيل رواه أبو داود)
34
4
Hadith ini diriwayatkan: al-Bukhari[32] dan Ahmad.[33]
وَصَلُّوا كَمَا رَأَيْتُمُونِي أُصَلِّي (قيل رواه البخاري و مسلم)
36
5
Dalam pencarian Maktabah Shamilah, Hadith yang dikatakatan sebagai riwayat Imam Ahmad ini, tidak dijumpai. Bahkan di dalam kitab-kitab di luar kitab Hadith muktabar sekalipun.
يَأْتِيْ عَلَى النَّاسِ زَمَانٌ يُصَلُّوْنَ وَلَا يُصَلٍّوْنَ (قيل رواه أحمد)
26
6
Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Abu Dawud.[34]
رُصُّوا صُفُوفَكُمْ وَقَارِبُوا بَيْنَهَا وَحَاذُوا بِالْأَعْنَاقِ فَوَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ إِنِّي لَأَرَى الشَّيْطَانَ يَدْخُلُ مِنْ خَلَلِ الصَّفِّ كَأَنَّهَا الْحَذَفُ (قيل رواه أبو داود)
32
7
Dalam pencarian Maktabah Shamilah, Hadith yang dikatakatan sebagai riwayat Imam al-Baihaqi ini, tidak dijumpai. Yang ada hanya Hadith riwayat Imam al-Tabrani:
من أحيا سنتي فقد أحبني ، ومن أحبني كان معي في الجنة
مَنْ أَحْيَا سُنَّتِي عِندَ فَسَادِ أُمَّتِي ... (قيل رواه البيهقي عن أبي هريرة)
38


PENUTUP


Dari pemaparan ringkas diatas, dapatlah diambil kesimpulan bahawa T.M. Hasbi Ash-Shiddieqy telah menulis kitab yang baik. Penjelasan yang terkandung dalam kajian Risalah Ash-Shalah berasaskan kepada kaedah pendalilan al-Quran dan al-Hadith. Hal ini sesuai dengan prinsip yang diperpegangi oleh majoriti bahkan seluruh umat Islam bahawa ibadah mesti berlandaskan kepada dalil naqli (al-asl fi al-’ibadah al-ittiba’ wa al-tawqif). Apatah lagi ibadah sembahyang yang merupakan ibadah ritual, yang secara rasmi sentiasa didirikan umat Islam sekurang-kurangnya lima kali sehari semalam.


T.M. Hasbi Ash-Shiddieqy yang sedianya telah menceburi pelbagai diskursus keilmuan Islam telah berjaya menyusun buku ini. Buktinya, kitab yang disusunnya telah diulang cetak puluhan kali. Selain itu, pendedahan pengarang terasa amat dihajati oleh kalangan muslimin Nusantara. Mengenai kandungan isi kitab Pedoman Solat terdiri dari bermacam-macam isu, baik yang selaras dengan realiti kehidupan manusia terhadap ibadah sembahyang (empirikal), mahupun pendedahan yang berkaitan dengan hukum-hakam sembahyang (teoritikal).


Kekurangan yang berlaku dalam kitab tersebut, sedikit-sebanyak mudah-mudahan boleh terjawab dengan kajian ringkas ini. Ketika pengarang tidak mendedahkan dalil-dalil naqli secara lengkap dan utuh, berupa ayat dan Hadith. Itu kerana—menurut hemat penulis—meringkaskan perbahasan. Lebih-lebih pemaparan hadith yang terasa amat panjang kalau sekiranya diikutkan dengan penjelasan sanad ia sekali. Sebagaimana lazimnya penulis-penulis lain, yang mencantumkan hadith-hadith Rasulullah dengan matan sahaja, perkara itu bukanlah dianggap sebagai satu kesilapan yang serius. Bahkan ianya boleh ditolerir, kerana di sesetengah tempat pengarang telah pun menjelaskan sumber pengambilannya. Demikian, wallahu a’lam.



BIBLIOGRAFI



KITAB BAHASA ARAB


Muhammad bin Isma'il al-Bukhari (1421 H/2000 M) "Sahih al-Bukhari" dalam Salih bin Abd al-'Aziz bin Muhammad bin Ibrahim Ali al-Shaykh. Mawsu'ah al-Hadith al-Sharif al-Kutub al-Sittah. cet. 3, No. Hadith 631, Kitab al-Adhan, Bab al-Adhan li al-Musafirin idha kanu Jama'ah wa al-Iqamah, wa Kadhalika bi 'Arafah wa Jam', al-Riyad: Dar al-Salam
Muslim bin al-Hajjaj (1421 H/2000 M) "Sahih Muslim" dalam Salih bin Abd al-'Aziz bin Muhammad bin Ibrahim Ali al-Shaykh. Mawsu'ah al-Hadith al-Sharif al-Kutub al-Sittah. cet. 3, No. Hadith 3530, Kitab al-Imarah, Bab Qawl al-Nabiy s.a.w. Innama al-A'mal, al-Riyad: Dar al-Salam
Abu Dawud Sulayman bin al-Ash'ath (1421 H/2000 M) "Sunan Abi Dawud" dalam Salih bin Abd al-'Aziz bin Muhammad bin Ibrahim Ali al-Shaykh. Mawsu'ah al-Hadith al-Sharif al-Kutub al-Sittah. cet. 3, No. Hadith 1882, Kitab al-Talaq, Bab Fima 'Aniy bihi al-Talaq wa al-Niyyah, al-Riyad: Dar al-Salam
Muhammad bin 'Isa al-Tirmidhi (1421 H/2000 M) "Sunan al-Tirmidhi" dalam Salih bin Abd al-'Aziz bin Muhammad bin Ibrahim Ali al-Shaykh. Mawsu'ah al-Hadith al-Sharif al-Kutub al-Sittah. cet. 3, No. Hadith 1571, Kitab Fada'il al-Jihad, Bab Ma Ja'a Fiman Yuqatil, al-Riyad: Dar al-Salam
Ahmad bin Shu'ayb al-Nasa'i (1421 H/2000 M) "Sunan al-Nasa'i" dalam Salih bin Abd al-'Aziz bin Muhammad bin Ibrahim Ali al-Shaykh. Mawsu'ah al-Hadith al-Sharif al-Kutub al-Sittah. cet. 3, No. Hadith 74, Kitab al-Taharah, Bab al-Niyyah fi al-Wudu', al-Riyad: Dar al-Salam
Muhammad bin Yazid Ibn Majah (1421 H/2000 M) "Sunan Ibn Majah" dalam Salih bin Abd al-'Aziz bin Muhammad bin Ibrahim Ali al-Shaykh. Mawsu'ah al-Hadith al-Sharif al-Kutub al-Sittah. cet. 3, No. Hadith 42, Kitab al-Zuhd, Bab al-Niyyah, al-Riyad: Dar al-Salam



BUKU BAHASA MELAYU


Kelana C.M. dan Lai Choy (1998). Kamus Perwira (Bahasa Melayu ● Bahasa Inggeris). Seri Kembangan: Penerbit Daya Sdn. Bhd.
Mahmud Junus (1379 H/1960). Sedjarah Pendidikan Islam di Indonesia. Djakarta: Pustaka Mahmudiah
T.M. Hasbi Ash-Shiddieqy (1996). Pedoman Solat. cet. 6. Batu Caves: Thinker’s Library Sdn. Bhd.



LAMAN WEB DAN RUJUKAN ELEKTRONIK


http://en.wikipedia.org/wiki/Nusantara, 31 Mac 2009
http://disertasi.blogspot.com/2007/06/disertasi-ilmiah-4-tafsir-al-bayan-oleh.html, 31 Mac 2009
http://mipsos.wordpress.com/2009/03/11/mipsos-sudah-punya-nomor-issn/, 31 Mac 2009
http://www2.kompas.com/kompas-cetak/0107/10/dikbud/isbn19.htm/, 31 Mac 2009
Maktabah Shamilah Hadith

NOTA KAKI

[1] Prolifik adalah satu istilah yang digunakan bagi menjuluki seseorang yang banyak menghasilkan karya (ciptaan). Lihat Kelana C.M. dan Lai Choy (1998). Kamus Perwira (Bahasa Melayu ● Bahasa Inggeris). Seri Kembangan: Penerbit Daya Sdn. Bhd., h. 1129.
[2] Pria kelahiran Lhokseumawe, 10 Mac 1909 dan meninggal dunia 9 Disember 1975. Dimakamkan di tanah perkuburan IAIN Ciputat Jakarta. Pernah menjadi Dekan Fakulti Syariah IAIN Sunan Kalijaga Yogyakarta (1960-1972). Memperolehi Ijazah Kehormat atau Dr. H.C. (Honouris Causa) dari UNISBA (22 Mac 1975) dan IAIN Sunan Kalijaga (29 Oktober 1975). Oleh kerana peranannya yang amat besar dalam mengembangkan kajian-kajian keIslaman dan khidmatnya dalam memajukan Perguruan Tinggi Islam di Indonesia. Baca Mahmud Junus (1379 H/1960). Sedjarah Pendidikan Islam di Indonesia. Djakarta: Pustaka Mahmudijah, h. 354. Lihat pula http://disertasi.blogspot.com/2007/06/disertasi-ilmiah-4-tafsir-al-bayan-oleh.html, diakses 31 Mac 2009.
[3] Penerbit Malaysia, Thinker's Library Sdn. Bhd. mengadaptasikan istilah Pedoman Ash-Shalah dengan sebutan Pedoman Solat. Oleh kerana penulis membahas edisi buku Malaysia-nya, maka seterusnya penulis akan akur dengan istilah Pedoman Solat, meskipun dalam beberapa kesempatan yang telah dijelaskan, gaya bahasa pengarang terpaksa dikekalkan.
[4] T.M. Hasbi Ash-Shiddieqy (selanjutnya ditulis Hasbi) (1996). Pedoman Solat. cet. 6. Batu Caves: Thinker’s Library Sdn. Bhd., h. 13.
[5] ISBN ialah akronim kepada International Standard Book Number atau Standard Penomboran Buku Internasional. Sedangkan ISSN International Standard Serial Number atau Standard Penomboran Seri Internasional. Lebih lanjut lihat http://www2.kompas.com/kompas-cetak/0107/10/dikbud/isbn19.htm atau http://mipsos.wordpress.com/2009/03/11/mipsos-sudah-punya-nomor-issn/, diakses 31 Mac 2009.
[6] Alam Nusantara yang penulis maksudkan dalam artikel ini adalah pengertian yang berkembang pada masa Kerajaan Majapahit (kurun ke-14) mencakupi wilayah Tumasik (Singapura), Semenanjung Malaysia dan Brunai. Bukan pengertian yang dikembangkan oleh Dr. Setia Budi yang mendefenisikan Alam Nusantara dengan; seluruh wilayah Indonesia dari Sabang sehingga Merauke (Nusantara as all the Indonesian regions from Sabang until Merauke). Baca konsep penjenamaan Alam Nusantara ini lebih lanjut di laman web http://en.wikipedia.org/wiki/Nusantara, diakses 31 Mac 2009.
[7] Hasbi, op.cit., h. 7.
[8] Hasbi, ibid., h. 36. Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Bukhari, lihat Muhammad bin Isma'il al-Bukhari (1421 H/2000 M) "Sahih al-Bukhari" dalam Salih bin Abd al-'Aziz bin Muhammad bin Ibrahim Ali al-Shaykh. Mawsu'ah al-Hadith al-Sharif al-Kutub al-Sittah. cet. 3, No. Hadith 631, Kitab al-Adhan, Bab al-Adhan li al-Musafirin idha kanu Jama'ah wa al-Iqamah, wa Kadhalika bi 'Arafah wa Jam', al-Riyad: Dar al-Salam, h. 51.
[9] Hasbi, op.cit., h. 13, 148 dan 149.
[10] Ibid., h. 25.
[11] Ibid., h. 26-31.
[12] Ibid., h. 39-45.
[13] Ibid., h. 46-61.
[14] Seperti istilah sunnat, mandub, mustahab, tathawwu' dan seterusnya. Lihat ibid., h. 584.
[15] Seperti perkataan taqarrub, tasbiel, amal-amal nawafil, tawajjuh dan sebagainya. Lihat ibid., h. 586.
[16] Ibid., h. 588.
[17] Ibid., h. 589.
[18] Ibid.
[19] Muhammad bin Isma'il al-Bukhari (1421 H/2000 M) "Sahih al-Bukhari" dalam Salih bin Abd al-'Aziz bin Muhammad bin Ibrahim Ali al-Shaykh. Mawsu'ah al-Hadith al-Sharif al-Kutub al-Sittah. cet. 3, No. Hadith 1, Kitab Bad' al-Wahy, Bab Bad' al-Wahy, al-Riyad: Dar al-Salam.
[20] Muslim bin al-Hajjaj (1421 H/2000 M) "Sahih Muslim" dalam Salih bin Abd al-'Aziz bin Muhammad bin Ibrahim Ali al-Shaykh. Mawsu'ah al-Hadith al-Sharif al-Kutub al-Sittah. cet. 3, No. Hadith 3530, Kitab al-Imarah, Bab Qawl al-Nabiy s.a.w. Innama al-A'mal, al-Riyad: Dar al-Salam.
[21] Abu Dawud Sulayman bin al-Ash'ath (1421 H/2000 M) "Sunan Abi Dawud" dalam Salih bin Abd al-'Aziz bin Muhammad bin Ibrahim Ali al-Shaykh. Mawsu'ah al-Hadith al-Sharif al-Kutub al-Sittah. cet. 3, No. Hadith 1882, Kitab al-Talaq, Bab Fima 'Aniy bihi al-Talaq wa al-Niyyah, al-Riyad: Dar al-Salam.
[22] Muhammad bin 'Isa al-Tirmidhi (1421 H/2000 M) "Sunan al-Tirmidhi" dalam Salih bin Abd al-'Aziz bin Muhammad bin Ibrahim Ali al-Shaykh. Mawsu'ah al-Hadith al-Sharif al-Kutub al-Sittah. cet. 3, No. Hadith 1571, Kitab Fada'il al-Jihad, Bab Ma Ja'a Fiman Yuqatil, al-Riyad: Dar al-Salam.
[23] Ahmad bin Shu'ayb al-Nasa'i (1421 H/2000 M) "Sunan al-Nasa'i" dalam Salih bin Abd al-'Aziz bin Muhammad bin Ibrahim Ali al-Shaykh. Mawsu'ah al-Hadith al-Sharif al-Kutub al-Sittah. cet. 3, No. Hadith 74, Kitab al-Taharah, Bab al-Niyyah fi al-Wudu', al-Riyad: Dar al-Salam.
[24] Muhammad bin Yazid Ibn Majah (1421 H/2000 M) "Sunan Ibn Majah" dalam Salih bin Abd al-'Aziz bin Muhammad bin Ibrahim Ali al-Shaykh. Mawsu'ah al-Hadith al-Sharif al-Kutub al-Sittah. cet. 3, No. Hadith 42, Kitab al-Zuhd, Bab al-Niyyah, al-Riyad: Dar al-Salam.
[25] Abu Dawud, op.cit., Kitab al-Salah, Bab Qawl al-Nabiy s.a.w. Kull Salah, No. Hadith 733.
[26] Al-Tirmidhi, op.cit., Kitab al-Salah, Bab Ma Ja'a Anna Awwal Ma Yuhasab bihi al-'Abd Yawm, No. Hadith 378.
[27] Al-Nasa'i, op.cit., Kitab al-Salah, Bab al-Muhasabah 'ala al-Salah, No. Hadith 461.
[28] Ibn Majah, op.cit., Kitab Iqamah al-Salah wa al-Sunnah fiha, Bab Ma Ja'a fi Anna Awwal Ma Yuhasab bihi al-'Abd al-Salah, No. Hadith 1415.
[29] Abu Dawud, op.cit., Kitab al-Salah, Bab al-Tashdid fi Tark al-Jumaah, No. Hadith 888.
[30] Al-Nasa'i, op.cit., Kitab al-Jumaah, Bab Fi al-Takhalluf 'an al-Jumaah, No.Hadith 1352.
[31] Ahmad bin Muhammad bin Hanbal, Musnad Ahmad, Kitab Musnad al-Makkiyyin, Bab Hadith Abi al-Ja'd al-Damri r.a., No. Hadith 14951.
[32] Al-Bukhari, op.cit., Kitab al-Adhan, al-Adab, Akhbar al-Ahad, Bab al-Adhan li al-Musafir idha kanu Jama'ah, Rahmat al-Nas wa al-Baha'im, Ma Ja'a fi Ijazah Khabar al-Wahid, No.Hadith 595, 5549, 6705.
[33] Ahmad, op.cit., Kitab Musnad al-Basriyyin, Bab Baqiyyah Hadith Malik bin Huwayrith r.a., No.Hadith 19625.
[34] Abu Dawud, op.cit., Kitab al-Salah, Bab Taswiyah al-Sufuf, No. Hadith 571.

1 komentar: