Selasa, 14 April 2009

PENGAJIAN HADITH DI IAIN IMAM BONJOL PADANG:
SEBUAH PENGANTAR

Oleh: Jannatul Husna*


PENDAHULUAN

Padang merupakan daerah bandar sekaligus menjadi ibu negeri kepada provinsi (wilayah) Sumatera Barat, Indonesia (1975). Tidak banyak maklumat yang menceritakan tentang sejarah awal kewujudan kota ini. Namun, pada abad ke-14 Kota Padang telah dikenali sebagai kampung nelayan dengan sebutan Kampung Batung. Sistem pemerintahan yang diguna tatkala itu ialah sistem pemerintahan Nagari, yang diperintah oleh Penghulu Delapan Suku. Pada tahun 1667 Belanda mendapatkan izin untuk mendirikan daerah pelabuhan pertama di sini, melalui kesefahaman dengan penghulu terkemuka "Orang Kayo Kaciak". Sungai Batang Arau yang terdapat disini menjadi titik awal pertumbuhan kota Padang sebagai kota pelabuhan dan perdagangan. Pelabuhan tersebut terkenal dengan nama Pelabuhan Muaro.[1]

Selama berabad-abad (hingga dekad ke-16) Kota ini dikuasai oleh Kerajaan Pagaruyung yang berpusat di Luhak Tanah Datar. Setelah itu, kekuasaan beralih kepada Kerajaan Aceh. Seabad berikutnya (kurun ke-17), Kompeni Belanda menemukan daerah ini. Melihat posisinya yang strategik untuk residen dan perhubungan, maka kalangan imperialis itu meyakinkan pemuka Bandar tempatan untuk membebaskan diri daripada pengaruh Kerajaan Aceh. Semua taktik licik itu terbaca akhirnya oleh masyarakat, sehingga pecahlah pemberontakan melawan penjajah Belanda (7 Ogos 1669). Tarikh tersebut akhirnya menjadi tonggak awal kelahiran Kota Padang.[2]

Ketika ini, Kota Padang telah tumbuh dan berkembang sebagai bandar perniagaan, lokasi pelancongan, pusat pentadbiran dan lembah ilmu pengetahuan. Sebagaimana layaknya kota-kota besar lainnya di Indonesia, rona kemajuan yang memberangsangkan itu didukung sepenuhnya oleh kemudahan-kemudahan awam yang wujud di Ranah Bundo ini.[3] Seperti wujudnya pelabuhan kapal laut di Teluk Bayur dan Bandar Udara Antarabangsa Minangkabau (BIM). Hal ini tentu turut memberikan impak yang besar bagi kemajuan pendidikan di daerah ini.

Meskipun destinasi pendidikan anak-anak Nusantara tidak tertuju lagi ke tempat ini. Sebagaimana era Haji Abdul Karim Amrullah, Syeikh Abdullah Ahmad, Prof. Dr. Hamka, M. Natsir dan beberapa generasi setelahnya—yang menjadikan Ranah Minang secara amnya sebagai pilihan tempat menuntut. Namun, percambahan Institusi pendidikan tetaplah ada, baik milik kerajaan mahupun swasta, dari peringkat dasar sehingga kepada peringkat Ijazah Tingi (Universiti). Untuk Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) ada empat Institusi iaitu Universiti Andalas (UNAND), Sekolah Tinggi Ilmu Kesehatan (STIKES), Universiti Negeri Padang (UNP—dulu Institut Keguruan dan Ilmu Pendidikan—IKIP) dan IAIN Imam Bonjol.

Dalam artikel ini akan diulas beberapa persoalan mengenai Institusi yang disebutkan terakhir diatas. Diantaranya mengenai sejarah penubuhan IAIN Imam Bonjol: Selayang Pandang, pelaksanaan Tri Darma Perguruan Tinggi (Matlamat IAIN Imam Bonjol) dan Pengajian Hadith di IAIN Imam Bonjol.

IAIN IMAM BONJOL: SELAYANG PANDANG

IAIN adalah singkatan kepada Institut Agama Islam Negeri (the State Islamic Institute). Sebuah Institusi Pendidikan Tinggi Awam yang mengkhususkan kajiannya kepada pengembangan dan pendalaman subjek-subjek keIslaman. Melaksanakan tugas pengajarannya mulai daripada peringkat Ijazah Dasar (S1-Sarjana Muda) sehingga kepada peringkat Ijazah Lanjutan (S3-Kedoktoran). Institusi kebanggaan umat Islam Sumatera Barat ini dipimpin oleh seorang rektor dengan dibantu oleh beberapa orang timbalannya. Sementara unsur-unsur pelaksana teknikal dan pengajaran, terdiri daripada pejabat Fakulti (Dekan dan para pembantunya), pusat penyelidikan dan lembaga pengabdian masyarakat.

Sebelum dikenali sebagai IAIN, ianya sering disebut dengan perkataan Arab iaitu al-Jami’ah al-Islamiyah al-Hukumiyah. Tetapi tradisi itu tidak berkekalan sampai ke hari ini. Penyebutan kata Imam Bonjol diakhir nama Institusi tersebut, dimaksudkan sebagai penghargaan kepada pejuang kemerdekaan Indonesia, Tuanku Imam Bonjol.[4] Hal ini lumrah berlaku dalam penyebutan nama setiap Institusi Islam di Indonesia. Dengan mengekalkan nama pejuang Islam daerah tempat Sekolah Tinggi itu ditubuhkan, kecuali IAIN Sumatera Utara.[5]

Penubuhan IAIN Imam Bonjol Padang tidak terlepas daripada perkembangan Islam di Ranah Minang yang kian rancak. Tokoh-tokoh masyarakat tempatan—sebagaimana juga di daerah lain—menginginkan adanya Institusi Pengajian Tinggi Islam awam yang melaksanakan pendidikan berterusan di ranah sendiri. Kewujudan IAIN Sunan Kalijaga di Yogyakarta (1960) dan IAIN Syarif Hidayatullah di Jakarta (1963) terasa kurang menyahut aspirasi masyarakat Sumatera Barat khasnya. Selain tempatnya yang jauh, tentulah akan memunculkan kesukaran baru bagi para penuntut daerah di luar Jawa.

Oleh itu, melalui Keputusan Menteri Agama Republik Indonesia Nombor 77 tahun 1966, IAIN Imam Bonjol Padang secara rasmi diasaskan sebagai Institusi Pengajian Tinggi Islam Awam (tertanggal 29 November 1966).[6] Pada peringkat awal, pusat pentadbiran dan pengajaran IAIN Imam Bonjol dilangsungkan di Jalan Sudirman No. 15 Padang (sekarang menjadi kampus Pasca Siswazah bagi program master dan Ijazah Kedoktoran). Bila bangunan baru selesai dikerjakan, maka proses pengajaran dipindahkan ke Jalan Prof. Mahmud Yunus No. 1, Lubuk Lintah, Padang 25153 Sumatera Barat. Kerana kawasan kampus ini cukup besar dan boleh menampung ramai pelajar, maka pendidikan S1-Sarjana Muda, diadakan di sini.

Dengan Surat Keputusan Menteri Agama, kala itu IAIN Imam Bojol masih lagi mempunyai empat Fakulti: Fakuli Tarbiyah di Padang, Fakulti Usuluddin di Padang Panjang, Fakuli Syari'ah di Bukit Tinggi, dan Fakulti Adab di Payakumbuh.Dalam beberapa tahun kemudian, IAIN Imam Bonjol Padang semakin bertambah jumlah Fakultinya, iaitu dengan ditubuhkannya Fakulti Dakwah di Solok (1968), dan Fakulti Tarbiyah di Batusangkar (1971). Pada 1973 kedua Fakulti cabang di Padang Sidempuan bergabung dengan IAIN Sumatera Utara. Sejak tahun 1976, lima Fakulti (Adab, Dakwah, Syari'ah, Tarbiyah, dan Usuluddin) sudah dipusatkan di Padang. Tapi keberadaan Fakulti Syari’ah di Bukit Tinggi dan Fakulti Tarbiyah di Batusangkar masih dipertahankan sebagai dua Fakulti cabang. Pada 1997, Pemerintah melepaskan semua Fakulti-fakulti cabang dari IAIN tersebut, dan meresmikan berdirinya 33 STAIN di Indonesia. Sementara itu, IAIN Imam Bonjol Padang --salah satu dari 14 IAIN di Indonesia-- sudah memiliki lima Fakulti di Kota Padang.[7]

Sampai tahun 2002, IAIN Imam Bonjol telah melahirkan seramai 17. 634 graduan. Baik untuk peringkat diploma (D3), Sarjana Muda (S1), mahupun Ijazah Sarjana (S2). Bagaimanapun pelaksanaan pengajian lanjutan di IAIN Imam Bonjol sampai waktu berkenaan telah dikendalikan oleh para pensyarah yang berkelayakan dibidangnya. Meskipun masih ramai diantara mereka yang berijazah Sarjana Muda Lengkap (Doktorandus), namun tidak sedikit juga yang lepasan Sarjana dan Kedoktoran mengajar di kampus dengan keluasan 95.335 m² ini. Sebanyak 116 orang berkelulusan Sarjana Muda Lengkap, 117 orang berkelulusan Sarjana dan 25 orang lepasan program Ph.D.[8]

Saat ini (2009) IAIN Imam Bonjol Imam Padang diterajui oleh kepemimpinan Rektor, Prof. Dr. Hj. Sirajuddin Zar, MA.[9] (pakar bidang Falsafah dan Pemikiran Islam). Dia dibantu oleh beberapa orang timbalannya, iaitu Prof. Dr. Hj. Salmadanis, M.Ag.[10] (pakar bidang Dakwah dan Ilmu-ilmu Sosial--Purek 3), Dr. Hj. Buchari M. M.Ag.[11] (pakar dalam bidang Hadith dan ‘Ulum al-Hadith--Purek 2), serta Prof. Dr. Hj. Syafruddin Nurdin, M.Pd.[12] (pakar dalam bidang Pendidikan--Purek 1).

MATLAMAT IAIN IMAM BONJOL

Sebagaimana Institusi Pengajian Tinggi lain di Indonesia, IAIN Imam Bonjol mempunyai matlamat yang sama iaitu melaksanakan Tri Darma Perguruan Tinggi. Aspek-aspek tersebut ialah melaksanakan proses pendidikan dan pengajaran, penyelidikan serta pengabdian terhadap masyarakat.[13] Proses pendidikan dan pengajaran dilakukan dalam bentuk kuliah semester (6 bulan), dengan bilangan (pengambilan) subjek yang telah diatur oleh pihak rektorat-canselori (iaitu SKS-Sistem Kredit Semester). Adapun aspek penyelidikan dilaksanakan dengan ketentuan, membuat tugas akhir ilmiah. Bagi pelajar Sarjana Muda (S1) dikenali sebagai skripsi, sedangkan bagi peringkat master (S2) dan Ijazah Kedoktoran (S3) disebut sebagai tesis dan disertasi.

Sementara untuk aspek pengabdian masyarakat, IAIN Imam Bonjol mewajibkan setiap pelajarnya untuk melakukan dakwah Islam, organisasi, aktiviti sosial dan kegiatan ilmiah lainnya. Perkara ini harus dibuktikan dalam bentuk sijil, surat keputusan (surat akuan) daripada pihak-pihak berkaitan. Kalau tidak boleh menunjukkan sertifikat tersebut, maka SKEK (Surat Keterangan Ekstra Kurikuler) dianggap tidak melayakkan pelajar terbabit untuk ke sidang munaqashah tugas akhir ilmih atau majlis konvokesyen. Lebih dari itu adalah pengabdian terhadap masyarakat dijalankan dengan subjek Kuliah Kerja Nyata (KKN). Subjek lapangan ini dilaksanakan selama tiap-tiap bulan Ramadan tiba, di kampung-kampung terpinggir, dimana dakwah Islam dan perkembangan ilmu pengetahuan belum begitu hebat. Kegiatan itu masih terus lagi dikekalkan hingga ke hari ini. Memandangkan manfaatnya yang amat besar bagi keelokan pemahaman masyarakat terhadap nilai-nilai Islam.

Azyumardi Azra pernah menulis bahawa sejak ditubuhkannya, IAIN (secara amnya) mempunyai dua tanggungjawab iaitu tanggungjawab akademik-intelektual dan sosial terhadap lingkungannya. Pengarah Sekolah Pasca Siswazah UIN Syarif Hidayatullah itu mengulas,

Thus, the IAIN since its establishment has shouldered two fundamental responsibilities: the advancement of Islamic intellectual discourse and betterment of the Muslims’ understanding of their own religious practices. In other words, the IAIN has undertaken both an academic role (as an educational institution aiming to improve the quality of Muslim intellectual discourse) and a social role (as a religious institution for da’wah).[14]

Ertinya: Dengan demikian, IAIN sejak penubuhannya telah menjalankan dua tanggung jawab pokok: peningkatan wacana (diskursus) intelektual Islam dan perbaikan kearah kepahaman orang-orang Islam terhadap amalan-amalan agama mereka sendiri. Dengan kata lain, IAIN telah melakukan keduanya sekaligus iaitu peranan akademik (sebagai sebuah Institusi pendidikan yang bertujuan untuk menggalakkan kualiti diskursus intelektual Muslim) dan peranan sosial (sebagai sebuah insitusi agama bagi pengembangan dakwah).

Dalam keterangan Azra diatas, sama sekali tidak disentuh secara jelas peranan IAIN sebagai organisasi penyelidikan ilmu pengetahuan. Namun, bukan bererti tanggung jawab itu luput sama sekali. Menurut hemat penulis, kategori itu sengaja tidak disebutkan oleh Putra Lubuk Alung itu, kerana peranannya yang terlalu kecil dalam bidang berkenaan. Apatahlagi kampus-kampus Islam di Indonesia belum ada yang dinaik taraf menjadi Universiti Penyelidikan (Research University). Situasi ini semakin songsang dan bertindih (overlapping), kerana wujudnya Lembaga Penelitian dan Pengembangan (Litbang), baik tingkat Nasional sehingga ke daerah-daerah. Akibatnya, pertembungan aktiviti penyelidikan tidak dapat dielakkan bagi dunia kampus. Lagipun peruntukan budget (anggaran belanjawan) daripada pihak kerajaan dan NGO-NGO tidak begitu memberangsangkan ilmuan Islam untuk menjalankan kerjaya ilmiahnya.

Sekiranya tugas penyelidikan itu diserahkan utuh kepada komuniti kampus, maka masalah keagamaan dan sosial lainnya—yang beredar di persekitaran—boleh diredakan. Fungsi penyelidikan inilah yang sering muram di kalangan Sarjana Islam Indonesia amnya, IAIN Imam Bonjol Padang khasnya. Alasannya bukan kerana tidak berminat, tetapi kesukaran financial (kewangan). Termasuk untuk perbelanjaan pembuatan tesis dan dissertasi.[15]

Dalam catatan Adian Husaini—sebagaimana beliau mengutip pandangan Menteri Agama K.H. M. Dahlan (1968)—menyebutkan tujuan awal penubuhan IAIN: membasmi tachajjul dan churafat jang telah ditimbulkan oleh kelalaian kita akan adjaran Allah dan kurangnya pengertian generasi baru kita terhadap tudjuan Islam jang sutji murni.[16]

Penggalan kalimat terakhir diatas menunjukkan kepada kita, bahawa matlamat IAIN secara keseluruhan adalah untuk menjaga kemurnian ajaran Islam yang sahih dari sebarang bentuk penyelewengan pihak-pihak tertentu. Kekhawatiran akan penyelewengan itu, sedianya telah muncul bahkan tumbuh subur sekarang di ranah Institusi yang berlabelkan agama itu. Seperti wacana Sejarah Kritis Teks al-Quran oleh Taufik Adnan Amal dan Syamsu Rizal Panggabean (1989) dalam bukunya Tafsir Kontekstual al-Quran, Koreksi Terhadap Otentisitas Hadith, Hermeneutika Mazhab Yogya oleh Shahiron Shamsuddin dan kawan-kawan serta wacana lain yang terus dikembangkan oleh Komunitas Utan Kayu (Jaringan Islam Liberal) dan yang seumpama dengannya.[17]

Kelalaian umat Islam tersebut bukan berpunca daripada ajaran-ajaran khurafat dan takhayul semata-mata, akan tetapi kelalaian tersebut, disebabkan oleh ekoran umat Islam terlalu mengikut Barat dan orientalis secara serta merta, tanpa kritikal. Akibatnya dapat dipastikan, timbulnya pentafsiran sonsang dan mengelirukan masyarakat muslim. Kelompok-kelompok pro-Barat tersebut tidak lagi berpaksikan ajaran al-Quran yang sahih, bahkan mengabaikan landasan Sunnah Rasulullah s.a.w..


PENGAJIAN HADITH DI IAIN IMAM BONJOL


Kajian ini akan memfokuskan kepada subjek 'Ulum al-Hadith dan Hadith yang diajarkan tahun akademik 2000-2006, di Jabatan al-Quran dan al-Hadith (dikenali sebagai Jurusan Tafsir Hadith) Fakulti Usuluddin, IAIN Imam Bonjol Padang. Penyelidikan ini juga lebih menumpukan kajiannya kepada metode pengajaran yang diberlakukan terhadap pelajar Tafsir Hadith peringkat Sarjana Muda sahaja. Diluar perbahasan dan ruang lingkup tersebut akan diabaikan.

Dari sepuluh IAIN dan lima UIN di seluruh Indonesia, prestasi IAIN Imam Bonjol masih cukup membanggakan untuk wilayah Sumatera dan sekitarnya.[18] Penekanan kepada beberapa aspek atau penonjolan salah satu diantara cawangan-cawangan keilmuan yang ditawarkan, sedianya berlaku di sini walaupun tidak begitu ketara. Untuk konteks IAIN Ar-Raniri, misalnya—sebagai IAIN tertua (1964) di Sumatera—lebih menitikberatkan kepada kajian-kajian Hukum Islam. Hal ini dapat dimaklumi, kerana kepentingan masyarakat dan pihak Kerajaan Negeri Aceh yang sedang giatnya menyusun perundangan otonomi khasnya (pemberlakuan Syari’at Islam). Untuk IAIN lain di Sumatera, belum tampak penonjolan yang bererti termasuklah IAIN Imam Bonjol.

Penekanan kajian bagi IAIN Imam Bonjol terlihat pada Fakulti Tarbiyah dan Syari’ah. Banyaknya pelajar yang memilih kedua-dua bidang ini, disebabkan oleh beberapa alasan. Termasuk kerana wilayah kerja dua cawangan ilmu ini lebih luas dibandingkan dengan kepakaran bidang Usuluddin, Adab dan Dakwah Islam.[19] Selain itu, pakar-pakar (Profesor-Guru Besar) bidang Pendidikan Islam dan Syari’ah lebih banyak jika dibandingkan dengan bidang selainnya. Kerana itu, IAIN Imam Bonjol telah membuka dua cawangan ilmu ini sampai ke peringkat Ijazah Kedoktoran.

Meskipun penekanan terhadap pengajian Hadith di Kampus Lubuk Lintah dan Jalan Sudirman ini tidak begitu terserlah. Akan tetapi Institusi ini memiliki ciri khas tersendiri dalam pengajian Hadith. Diantaranya ialah wujudnya praktikal Takhrij Hadith selama beberapa semester pengajian (Subjek Takhrij al-Hadith dan Praktikum Tafsir dan Hadith). Maklumat Hadith yang akan ditakhrij itu, didapatkan di seberang masjid dan majlis-majlis pengajiian keIslaman. Setelah Hadith-hadith didapatkan dari berbagai tempat tersebut, maka dibuatlah kajian kepustakaan dengan meneliti kitab rijal, aspek ketersambungan sanad, 'adalat al-sahabah bahkan sampai kepada kritik matan dia sekali.

Peneraju kepada subjek-subjek Hadith dan ‘Ulum al-Hadith diatas adalah Prof. Dr. Edi Safri[20] (menulis tesis Ph.D-nya di IAIN Syarif Hidayatullah Jakarta tentang Metode Imam al-Shafi’i dalam Melerai Hadith-hadith Bercanggah (Mukhtalif al-Hadith)) dan Dr. Hj. Buchari M. M.Ag.[21] (menulis tesis Ph.D-nya di UIN Syarif Hidayatullah Jakarta [2002], tentang Metode Kritik Matan dalam Hadith). Disamping itu masih ada pensyarah-pensyarah lain, seperti Encik Adriansyah N.Z., MA. (yang menulis Disertasi Masternya tentang Metode Ibn Khuzaimah dalam Kitab Sahihnya), Encik Faizin MA., Encik Maizuddin M.Ag. dan Puan Dra. Sri Chalida M.Ag..

Mengenai kurikulum yang diajarkan di Jabatan al-Quran dan al-Hadith IAIN Imam Bonjol hampir sama dengan IAIN lain, kerana silabus kuliah itu merata (berlaku) secara Nasional. Untuk Jabatan Tafsir Hadith diajarkan pertama kali subjek Hadith dan 'Ulum al-Hadith pada semester ke-tiga tahun kedua pengajian. Iainya menerusi kursus USH 31103 'Ulum al-Hadith I. Begitulah seterusnya sehingga ke semester ketujuh; Semester keempat ditawarkan subjek USH 41109 Hadith I dan II serta subjek THU 41112 'Ulum al-Hadith II. Sementara untuk semester lima, pelajar didedahkan dengan kursus THU 51104 Hadith III, THU 51102 'Ulum al-Hadith III dan IV dan THU 51215 Membahas Kitab Hadith (MKH). Bagi semester enam pula, mahasiswa diajarkan maddah THU 61104 Hadith IV dan yang paling mencabar subjek THU 63201 Takhrij al-Hadith.[22] Untuk semester pengajian yang ketujuh, pelajar Jabatan Tafsir Hadith kembali didedahkan dengan tiga subjek hadith iaitu THU 73202 Studi Naskah (Hadith), THU 74205 Praktikal Tafsir dan Hadith serta THU 71104 Hadith V.[23] Adapun untuk semester pertama dan kedua pengajian, sengaja belum dibebankan dengan pengajian Hadith ataupun ilmunya. Oleh kerana, setiap pelajar disiapkan untuk menguasai ilmu-ilmu alat. Pada ketika ini pelajar mengambil kursus seperti INS 13103 Bahasa Arab I (secara intensif, kelas petang), INS 23103 Bahasa Arab II (secara intensif, kelas petang). Sementara untuk semester pamungkas (semester kedelapan), dimana pelajar hampir menamatkan masa belajarnya. Justru, waktu ini sengaja tidak dibebankan tajuk-tajuk kursus, kerana memandangkan masa pelajar banyak dihabiskan untuk penulisan skripsi (latihan ilmiah).

Sementara untuk kitab-kitab muktabar yang digunakan dalam pengajian Hadith dan ’Ulum al-Hadith Jabatan Tafsir Hadith, diantaranya ialah: ‘Ulum al-Hadith oleh Muhammad ‘Ajjaj al-Khatib; Taysir Mustalah al-Hadith Mahmud al-Tahhan; al-Hadith wa al-Muhaddithun Muhammad Abu Zahw; Kutub al-Sittah oleh Imam-imam Hadith: Bukhari, Muslim, Abu Dawud, al-Tirmidhi, al-Nasa’i dan Ibn Majah; Fath al-Bari Sharh Sahih al-Bukhari oleh Ibn Hajar al-‘Asqalani; Tuhfat al-Ahwadhi bi Sharh Jami’ al-Tirmidhi oleh Muhammad Abd al-Rahman al-Mubarakfuri, dan masih banyak lagi. Meskipun pengajian di Jabatan Tafsir Hadith membahas berbagai-bagai kitab Hadith seperti telah disebutkan, akan tetapi tidak sampai mengkhatamkan seluruh perbahasan yang ada di dalam kitab tersebut secara total. Hal ini kerana mengingat peruntukan masa yang amat terhad disamping banyaknya subjek lain yang mesti diajarkan.

Mengenai metode penyampaian subjek-subjek kuliah, berlaku seperti tradisi pengajian di kampus-kampus lain di Indonesia. Metode diskusi dan perdebatan di dalam kelas, pembentangan kertas kerja (makalah), dimana para pelajar mendapatkan kesempatan yang besar untuk mengemukakan gagasan dan ideanya dalam bentuk soal-jawab. Sementara pensyarah hanya sekedar memberikan pandangan dan penambahbaikan terhadap masalah yang tengah dipaparkan pemakalah dan anggota sidang kuliah. Selain itu, metode membaca kitab-kitab turath dari kulit ke kulit dalam sesuatu tajuk atau isu yang dikehendaki oleh kurikulum pengajian turut diadakan. Perkara ini dimaksudkan bagi menguji kelayakan dan meninjau sejauh mana kemampuan pelajar menguasai kitab-kitab gundul (tidak berbaris). Kebiasaanya, bila permulaan semester dan masa terakhir kuliah, pensyarah bakal menggunakan metode ceramah, dimana para pelajar menerima pandangan dan matlamat selama pengajian berlangsung. Berikutnya, pensyarah akan membuka sesi soalan untuk menampung permasalahan yang diajukan oleh pelajar, baik berkaitan dengan subjek pengajian mahupun perkara lain yang tidak berkait langsung dengan wawasan kursus berkenaan. Dari sekian banyak metode di atas, yang mampu memberi impak sangat besar bagi perkembangan dinamisasi pemikiran mahasiwa adalah metode diskusi dan perdebatan bahkan dengan pensyarah sekalipun.

Semua perjalanan kuliah bukan tidak mempunyai tantangan. Diantara tantangan yang hebat dan terkini ialah penguasaan terhadap kajian Hadith berpaksikan ICT dikalangan pelajar bahkan pensyarah. Para pelajar Jabatan Tafsir Hadith IAIN Imam Bonjol belum begitu familiar (akrab) dengan teknologi maklumat yang satu ini. Disamping kemampuan finansial (kewangan) kampus sebagai punca kepada berlakunya kes terbabit. Oleh itu, perkembangan metode pengajian Hadith versi e-e-learning, adec perlu ditubuhkan bagi menghadapi cabaran globalisasi moden.[24] Diakui bahawa koneksi internet yang mesra sebagaimana dijumpai di Universiti Malaya dan ramai Universiti di Malaysia belumlah didapati di Institusi kebanggaan Ranah Minang tersebut.


KESIMPULAN


Padang sebagai bahagian wilayah Minangkabau sememangnya telah menjadi pusat pengajian Islam serantau. Kecemerlangan daerah ini dalam menerajui dakwah dan pendidikan Islam terserlah sampai ke seantaro dunia. Tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan Indonesia dan Ulama tempatan boleh membuat generasi hadapan di Ranah ini berdecak kagum. Meskipun tantangan yang mereka warisi tidaklah ringan. Buya Hamka, M. Natsir adalah diantara contoh Tokoh lokal yang hadir di sini. Dengan karya, mereka telah mampu menerangi dunia. Pertanyaannya sekarang, siapakah penerus cita-cita tersebut yang masih tersisa?

IAIN Imam Bonjol sebagai Institusi Islam diharapkan mampu menjawab tantangan itu. Tidak perlulah mengejar pengiktirafan sebagai Universiti Islam Negeri (UIN) sepertimana IAIN lain di Indonesia. Kerana yang demikian malah akan melunturkan semangat (khittah) awal penubuhan IAIN itu sendiri. Peningkatan kualiti perlu terus diperhatikan, baik dari penjaringan pelajar, peningkatan kualiti pensyarah, pihak-pihak pegawai pengurusan dan pentadbiran. Disamping itu, semua pimpinan IAIN Imam Bonjol di setiap levelnya (mulai dari pihak Rektor sehingga ke Ketua Jabatan) mesti berani membuat kebijakan dan mempunyai jaringan global (antarbangsa).

Pengajian Hadith walaupun tidak menjadi icon pengajian Islam di IAIN Imam Bonjol Padang. Namun ianya memiliki beberapa keunikan metode yang tidak ditemui dalam perbahasan subjek lain bahkan di beberapa Institusi Islam di Indonesia. Semisal metode Takhrij al-Hadith dan Metodologi Penyelidikan Hadith. Namun pengajian terhadap Warisan Nabawi tersebut masih perlu dipertingkatkan lagi, diantaranya melalui pengajian Hadith dengan pengurusan maklumat (ICT). Seperti yang justru kita temui di Universiti Malaya dengan versi e-learningnya dan yang terbaru, di Universiti Sains Islam Malaysia dengan penubuhan satu Jabatan khas, iaitu Jabatan Pengajian Sunnah dengan Pengurusan Maklumat. Pengajian dengan Pengurusan Teknologi Maklumat ini tentu, bukan sahaja didedahkan kepada pihak pelajar, akan tetapi perlu juga diperkenalkan kepada para pensyarah. Demikian, wallahu a’lam.



BIBLIOGRAFI

BUKU DAN PROSIDING SEMINAR

Adian Husaini (2005), Wajah Peradaban Barat: Dari Hegemoni Kristen ke Dominasi Sekular-Liberal. Jakarta: Gema Insani Press

____________ (2006), Hegemoni Kristen-Barat dalam Studi Islam di Perguruan Tinggi. Jakarta: Gema Insani Press

Adnin Armas dan Arif Anggoro (2003), Pengaruh Kristen-Orientalis Terhadap Islam Liberal: Dialog Interaktif dengan Jaringan Islam Liberal. Jakarta: Gema Insani Press

Azyumardi Azra (2004), “The Making of Islamic Studies in Indonesia”, dalam Abd. Samat Musa (eds.), Islamic Studies in World Institutions of Higher Learnig: Issues and Challenges in the Era of Globalization. Kuala Lumpur: Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM)

Kafrawi Ridwan (eds.) (1999). Ensiklopedi Islam. jil. 2. cet. 5. Jakarta: PT. Ichtiar Baru Van Hoeve

Mahmud Junus (1379H/1960), Sedjarah Pendidikan Islam di Indonesia. Djakarta: Pustaka Mahmudijah

Mohd Zohdi Mohd Amin (et.al.) (2007), “Pengajian Hadith di IPTA: Cabaran di Era Globalisasi”, dalam Robiatul Adawiyah Mohd @ Amat (eds.), Prosiding Seminar Warisan Nabawi “Sunnah Aplikasi dan Cabaran Semasa”. Bandar Baru Nilai: Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)


LAMAN WEB

Adian Husaini (27 Juli 2007), Tujuan Didirikannya IAIN, http://hidayatullah.com/,
5 Mac 2009

Dr. H. Buchari M. M.Ag., http://www.pasca-iainib.ac.id/index.php/Dr.-H.-Buchari-M.-M.-Ag.html, 10 Mac 2009

Imam Bonjol, http://id.wikipedia.org/wiki/Imam_Bonjol/, 5 Mac 2009

Laman Web Rasmi Ditpertais, http://ditpertais.net/regulasi/domlit/02.asp/, 5 Mac 2009

Laman Web Rasmi Insist,
http://insisnet.com/index.php?option=com_content&task=view&id=28&Itemid=26/ 13 Februari 2009

Laman Web Rasmi Kota Padang, http://www.padang.go.id/v2/content/view/5/70/,
5 Mac 2009

Prof. Dr. Edi Safri, http://www.pasca-iainib.ac.id/index.php/Prof.-Dr.-Edi-Safri.html,
10 Mac 2009

Prof. Dr. H. Sirajuddin Zar, MA., http://www.pasca-iainib.ac.id/index.php/Prof.-Dr.-H.-Sirajuddin-Zar-MA.html, 11 April 2009

Prof. Dr. H. Salmadanis, M.Ag., http://www.pasca-iainib.ac.id/index.php/Prof.-Dr.-H.-Salmadanis-M.-Ag.html, 11 April 2009

Prof. Dr. H. Syafruddin Nurdin, M.Pd., http://www.pasca-iainib.ac.id/index.php/Prof.-Dr.-H.-Syafruddin-Nurdin-M.Pd.html, 11 April 2009

Profil IAIN Padang, http://www.minangforum.com/showthread.php?p=19304,
10 April 2009

Program yang Ditawarkan,
http://www.usim.edu.my/v7/index.php?option=com_content&view=article&id=110&Itemid=174, 11 April 2009


NOTA KAKI

[1] Lihat profil lengkapnya dalam laman web rasmi http://www.padang.go.id/v2/content/view/5/70/, 5 Mac 2009.
[2] Ibid.
[3] Ranah Bundo adalah diantara sebutan lain bagi Ranah Minangkabau. Perkataan itu diharapkan mampu mengingatkan peran perempuan di tempat itu, sebagai pelaku sejarah adat resam dan pelaku sejarah sosial.
[4] Tuanku Imam Bonjol (Muhammad Shahab) lahir di Bonjol, Pasaman Sumatera Barat tahun 1772 dan wafat di Pineleng, Minahasa pada 6 November 1864. Lihat laman web http://id.wikipedia.org/wiki/Imam_Bonjol, 5 Mac 2009.
[5] Kafrawi Ridwan (eds.) (1999). Ensiklopedi Islam. jil. 2. cet. 5. Jakarta: PT. Ichtiar Baru Van Hoeve, h. 230.
[6] IAIN Imam Bonjol bukanlah Sekolah Tinggi Islam pertama di Sumatera Barat. Kerana jauh sebelum itu (1940), Persatuan Guru Agama Islam (PGAI) pimpinan Abdullah Ahmad telah pun mengasaskan penubuhan Sekolah Tinggi Islam (STI) di Padang. Lihat Kafrawi Ridwan, ibid., h. 232.

Menurut catatan Mahmud Yunus, sebagai pengendali sekolah terbabit, lembaga itu bernama Sekolah Islam Tinggi. Didirikan pada 9 Disember 1940, dengan dua Fakulti: pertama, Fakulti Syari’ah; kedua, Fakulti Pendidikan dan Bahasa Arab. Menurut Tokoh pendidikan Indonesia itu pula, sekolah tersebut merupakan Perguruan Islam Tinggi terulung di Minangkabau bahkan di seluruh Indonesia. Ekoran pendudukan dan penjajahan Jepun yang kian menyudutkan posisi penyebaran serta pendidikan Islam di Indonesia, maka Sekolah Tinggi Islam berkenaan terpaksa ditutup pada bulan Mac 1942.

Setelah STI terkubur dan tidak lagi meneruskan kiprahnya, maka tahun 1953/27 Rajab 1373 diasaskanlah Universiti Islam Darul Hikmah di Bukit Tinggi yang dikenali juga dengan Perguruan Islam Tinggi Darul Hikmah. Diawal penubuhannya (1953), Sekolah Tinggi Islam ini hanya terdiri dari satu Fakulti sahaja iaitu Fakulti Hukum Islam. Presiden Universiti Islam Darul Hikmah iaitu Syeikh Ibrahim Musa, dibantu oleh dua orang timbalannya, Syeikh Abdul Hamid Hakim dan Nasruddin Thaha. Pembukaan Universiti Islam tersebut dirasmikan oleh Menteri Agama Republik Indonesia saat itu, KH. Ilyas pada 12 Oktober 1957.

Yang menarik dari Institusi ini adalah, ianya bukan sahaja melaksanakan pendidikan peringkat Sarjana Muda (Bachelor) akan tetapi sampai ke peringkat Sarjana (Master). Pada tahun 1957, Institusi berkaitan telah membuka empat Fakulti baru; Fakulti Usuluddin di Padang Panjang, al-Da’wah wa al-Irsyad di Payakumbuh, al-Fiqh wa al-Usul di Solok, Lughat al-’Arabiyyah wa al-Tarbiyah di Padang, selain Fakulti asalnya, Fakulti Hukum Islam di Bukit Tinggi.

Graduan yang menamatkan pengajian Syahadah ’Aliyah di Fakulti Hukum Islam berhak memperolehi gelar Bachelor of Islamic Law (B.I.L.). Sementara bagi sesiapa yang dapat menyelesaikan pengajian Syahadah ’Alimiyah, berhak memperolehi gelar Master of Islamic Law (M.I.L.). Bagi Fakulti Usuluddin pula, hanya ada pengajian peringkat Bachelor of Islamic Theology (B.I.T.), sedangkan Fakulti al-Da’wah wa al-Irsyad, ada pengajian Sarjana Muda dengan gelaran Bachelor of Islamic Missionary (B.I.M.) dan peringkat Sarjana, dengan gelaran Master of Islamic Missionary (M.I.M.). Di Fakulti al-Fiqh wa al-Usul ada pengajian Bachelor of Islamic Jurisprudence (B.I.J.) dan Master of Islamic Jurisprudence (M.I.J.). Sementara di Fakulti Lughat al-’Arabiyyah wa al-Tarbiyah hanya wujud peringkat pengajian Bachelor of Educatian. Lihat Mahmud Junus (1379H/1960), Sedjarah Pendidikan Islam di Indonesia. Djakarta: Pustaka Mahmudijah, h. 103-107 dan 121-123.
[7] Profil IAIN Padang, http://www.minangforum.com/showthread.php?p=19304, 10 April 2009.
[8] Ibid.
[9] Tokoh Falsafah Pemikiran Islam Sumatera Barat ini lahir di Balai Selasa Pesisir Selatan, 3 September 1953. Menyelesaikan pendidikan terakhirnya (Ph.D) bidang Falsafah Islam di IAIN Syarif Hidayatullah Jakarta tahun 1994. Sebelum menjadi Rektor (2007), beliau adalah Pengarah Program Pasca Siswazah IAIN Imam Bonjol Padang. Aktif mengajar di peringkat Sarjana dan Kedoktoran di Kampus Pasca Siswazah, Jalan Sudirman No. 15 Padang. Bidang kajian (subjek) yang beliau ajar adalah meliputi Sejarah Pemikiran dalam Islam, Falsafah Islam Moden dan Metodologi Penelitian Falsafah Islam. Lihat Prof. Dr. H. Sirajuddin Zar, MA., http://www.pasca-iainib.ac.id/index.php/Prof.-Dr.-H.-Sirajuddin-Zar-MA.html, 11 April 2009.
[10] Pakar Dakwah, bekas Dekan Fakulti Adab (2007) ini, diputerakan 24 Oktober 1959 di Tabek Patah, Batu Sangkar. Menyelesaikan pendidikan S3 (Ph.D) di UIN Syarif Hidayatullah Jakarta tahun 2002. Bidang kepakarannya adalah Ilmu Dakwah, selain itu beliau juga mengajar subjek Dakwah dalam Perspektif Quran dan Hadith. Lihat Prof. Dr. H. Salmadanis, M.Ag., http://www.pasca-iainib.ac.id/index.php/Prof.-Dr.-H.-Salmadanis-M.-Ag.html, 11 April 2009.
[11] Akan dijelaskan pada bahagian “Pengajian Hadith” berikutnya.
[12] Anak jati Padang, kelahiran 7 November 1951, tinggal di Jalan Ampang Kampung Jambak RT. 2 RW. 5 No. 13C Padang. Menyelesaikan pendidikan Doktornya (Ph.D) di Universiti Putra Indonesia (UPI) Bandung, Jawa Barat tahun 2001 dan memegang jawatan Dekan Fakulti Tarbiyah (2003-2007). Mengajar subjek Pengembangan Kurikulum. Selain itu, beliau juga mengajar Metodologi Penyelidikan Pendidikan Islam untuk peringkat Sarjana dan Ph.D. Lihat Prof. Dr. H. Syafruddin Nurdin, M.Pd., http://www.pasca-iainib.ac.id/index.php/Prof.-Dr.-H.-Syafruddin-Nurdin-M.Pd.html, 11 April 2009.
[13] Lihat laman web http://ditpertais.net/regulasi/domlit/02.asp/, 5 Mac 2009. Baca lebih lanjut tentang Tujuan Didirikannya IAIN oleh Adian Husaini (27 Juli 2007) di http://hidayatullah.com/ atau layari laman web http://insisnet.com/index.php?option=com_content&task=view&id=28&Itemid=26/, 13 Februari 2009.
[14] Azyumardi Azra (2004), “The Making of Islamic Studies in Indonesia”, dalam Abd. Samat Musa (eds.), Islamic Studies in World Institutions of Higher Learnig: Issues and Challenges in the Era of Globalization. Kuala Lumpur: Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM), h. 31.
[15] Istilah Tesis digunakan di serata tempat Perguruan Tinggi di Indonesia, baik milik kerajaan mahupun swasta untuk peringkat Sarjana. Sedangkan Dissertasi merupakan satu istilah bagi karya ilmiah peringkat Ijazah Kedoktoran (Ph.D). Berbeza dengan tradisi keilmuan di Malaysia, yang menggunakan istilah tersebut dengan sebaliknya.
[16] Adian Husaini, loc.cit.
[17] Lihat Adian Husaini (2005), Wajah Peradaban Barat: Dari Hegemoni Kristen ke Dominasi Sekular-Liberal. Jakarta: Gema Insani Press dan buku Adian Husaini yang kedua (2006), Hegemoni Kristen-Barat dalam Studi Islam di Perguruan Tinggi. Jakarta: Gema Insani Press. Lihat juga Adnin Armas dan Arif Anggoro (2003), Pengaruh Kristen-Orientalis Terhadap Islam Liberal: Dialog Interaktif dengan Jaringan Islam Liberal. Jakarta: Gema Insani Press, h. 54.
[18] Sepuluh IAIN yang dimaksudkan itu ialah IAIN Sunan Ampel Surabaya (1965), IAIN Sunan Gunung Djati Bandung (1966), IAIN Walisongo Semarang (1970), IAIN Ar-Raniri Aceh (1964), IAIN Imam Bonjol Padang (1966), IAIN Sultan Thaha Syaifuddin Jambi (1967), IAIN Raden Fatah Palembang (1964), IAIN Raden Intan Bandar Lampung (1968), IAIN Antasari Banjarmasin (1964), IAIN Sumatera Utara (1973). Lima Universiti Islam Negeri (UIN) iaitu UIN Syarif Hidayatullah, UIN Sunan Kalijaga Yogyakarta, UIN Alauddin Ujung Pandang, UIN Sultan Syarif Kasim Pekanbaru, UIN Malang. Yang terakhir ini adalah pengembangan daripada Sekolah Tinggi Agama Islam Negeri Malang (STAIN).
[19] Hal serupa juga berlaku bagi kebanyakan pengajian sains sosial (termasuk takhassus hadith) di beberapa Universiti di Tanah Melayu. Mohd Zohdi dalam kertas kerjanya menulis,
“kerana bidang sastra dan sains sosial adalah mencentuskan masalah pengangguran, maka IPT perlu memikirkan graduan yang punya nilai “marketable” atau “keboleh pasaran”…jadi, bukan sahaja diharapkan mereka yang kesesuaian pengetahuan kepada dunia akademik, tetapi juga kepentingannya dalam dunia kerjaya”.
Lihat Mohd Zohdi Mohd Amin (et.al.) (2007), “Pengajian Hadith di IPTA: Cabaran di Era Globalisasi”, dalam Robiatul Adawiyah Mohd @ Amat (eds.), Prosiding Seminar Warisan Nabawi “Sunnah Aplikasi dan Cabaran Semasa”. Bandar Baru Nilai: Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), h. 183.

[20] Pakar Hadith Sumatera Barat yang satu ini, dilahirkan di Bukittinggi 18 September 1955. Menyelesaikan pendidikan terakhirnya (Ph.D) di IAIN Syarif Hidayatullah Jakarta tahun 1991 dibawah seliaan Tokoh Hadith Indonesia, Prof. Dr. Shuhudi Ismail. Bertempat tinggal di Wisma Indah 3 Blok C/2 Tabing Padang. Sekarang, selain menjadi Dekan Fakulti Usuluddin, beliau masih aktif mengajar di peringkat Sarjana Muda sehingga Ijazah Kedoktoran. Bidang kajian beliau adalah ‘Ulum al-Hadith dan Manhaj al-Muhaddithin. Lihat Prof. Dr. Edi Safri, http://www.pasca-iainib.ac.id/index.php/Prof.-Dr.-Edi-Safri.html, 10 Mac 2009.
[21] Dr. Buchari bin Mukhtar atau yang dikenali dengan Dr. Haji Buchari M. M.Ag. adalah Tokoh kelahiran Tanjung Jabung Jambi, 14 Februari 1972. Sekarang beliau tinggal di Jalan Tarandam IV/3B Padang. Bidang keahlian dan subjek pengajian yang beliau ajar di IAIN Imam Bonjol ketika ini, baik untuk peringkat Sarjana Muda mahupun kelas Ijazah Tinggi adalah ‘Ulum al-Hadith dan Metode Kritik Hadith. Lihat Dr. H. Buchari M. M.Ag., http://www.pasca-iainib.ac.id/index.php/Dr.-H.-Buchari-M.-M.-Ag.html, 10 Mac 2009.
[22] Subjek Takhrij al-Hadith merupakan subjek yang unik dan istimewa di Jabatan Tafsir Hadith IAIN Imam Bonjol Padang. Kerana ianya dilakukan di lapangan (field study), dengan menyelidiki Hadith-hadith yang digunapakai oleh para penceramah, pendidik, baik di masjid, surau ataupun madrasah-madrasah. Kemudian Hadith-hadith tersebut ditakhrij secara lengkap, baik transmisi periwayat (jalur sanad) mahupun kritik terhadap matannya sekali, dengan panduan kitab-kitab Hadith muktabar (library research).
[23] Lihat Transkrip Nilai Program Strata Satu (S1) Jabatan Tafsir Hadis Fakulti Usuluddin IAIN Imam Bonjol Padang (20 Mei 2006).
[24] Cabaran ini telah disahut oleh beberapa Universiti di Semenanjung Malaysia, diantara yang terbaru adalah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan. Dengan ditubuhkannya Jabatan Pengajian Sunnah dengan Pengurusan Maklumat, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS). Lihat http://www.usim.edu.my/v7/index.php?option=com_content&view=article&id=110&Itemid=174, 11 April 2009.

* Pelajar Master al-Quran dan al-Sunnah

Akademi Pengajian Islam

Universiti Malaya Kuala Lumpur

2 komentar:

  1. ooohhh... salam kenal dari ambo, mudah2han kito nan ado dirantau ko bisa mambangkik batang tarandam nan ado dikampuang kito,, mogah sukses slalu.... amiinn

    BalasHapus
  2. ya sama2 berjuang untuk kebanggaan keluarga, kampung dan ranah tercinta.

    BalasHapus