Rabu, 03 September 2008


Prospek Kerjaya Graduan Islam
Oleh: Jannatul Husna*
Diasuh oleh: Prof. Dr. Zulkifli Mohd Yusoff**

Selamat, menjadi pengangguran! Demikian kenyataan yang sering dijumpai sejurus Majelis Konvokesyen [wisuda] digelar di banyak tempat, Perguruan Tinggi di Indonesia. Para graduan itu, tiap dua kali dalam setahun terlahir melalui majlis perasmian tersebut, dalam pelbagai bidang keilmuan dan dari peringkat perguruan, apakah dari akademi, sekolah tinggi, institut sampai pada level universiti, milik swasta mahupun lembaga pengajian tinggi awam milik kerajaan (pemerintah).

Ungkapan ini menyiratkan makna bahwa lapangan pekerjaan di luar kampus seakan makin hari kian sempit dan terhad (terbatas) sahaja. Yang terbayang hampir di setiap benak ribuan warga intelektual itu ialah sengitnya dunia kerja, menatap masa depan yang belum pasti dan boleh jadi, suram. Ibarat istilah kebanyakan mahasiswa, menjadi alumni pengajian tinggi harus menempuh gerbang lain yang tak kalah menyakitkan, iaitu bersiap menambah deretan para penganggur di bumi sendiri. Amat naïve memang, tetapi demikianlah realiti yang sebenar. Padahal mereka adalah kalangan terpelajar, berkutat dengan buku selama bertahun-tahun, mendiskusikan persoalan bangsa sampai pada titik unjuk perasaan (demonstrasi) ketika kebijakan penguasa terlihat kurang berpihak kepada rakyat dan mendalami perkara lainnya. Pada saat yang indah ini, entah kenapa harus berhadapan dengan fakta, susahnya lapangan pekerjaan?

Pertanyaannya kemudian, adakah graduan pengajian tinggi orientasi fikirnya sebatas mendapat pekerjaan? Bagaimanapun idealisnya seorang graduan, kenyatan itu sukar sekali untuk dibantah, bahawa mereka bersekolah tinggi untuk mendapatkan pekerjaan yang laik dan boleh menjamin masa depan sendiri bahkan keluarga, itu fakta lain yang harus pula menjadi pertimbangan. Tetapi, graduan sejati yang telah bekerja, sepatutnya tidak melibas prinsip-prinsip idealisme semasa dia menjadi mahasiswa ketika dahulu. Inilah diantara isu kerjaya, dalam unjuk perasaan mahasiswa Tarbiyah-Shari'ah Universiti Islam Indonesia beberapa waktu yang lalu, kerana berdasarkan UU No 7 Tahun 1989, yang berhak menjadi Hakim dan Panitera pada Pengadilan Agama dan Pengadilan Tinggi Agama harus Sarjana Syariah bukan Sarjana Ilmu Agama. Para mahasiswa ini juga khawatir karena belum ada UU yang mengatur tentang orientasi kerja para Alumni Fakultas Agama. Apalagi Fakultas Agama belum tercantum dan diakui oleh Badan Akreditasi Nasional. (http://www.indomedia.com/bernas/9712/05/05yog-1.htm)

Menurut hemat penulis, cabaran kerjaya bagi para graduan ini tidak boleh dilepaskan dari aspek kualiti graduan itu sendiri. Untuk kes Indonesia hari ini, para graduan yang berprestij baik akan direkrut oleh jawatan-jawatan kerajaan, melalui pengujian yang ketat tanpa mengambil kira latar belakang keluarga terbabit. Pada masa Orde Baru (1965-1998), kesempatan seperti ini jarang ada, kerana perekrutan pegawai dipengaruhi oleh unsur-unsur kekerabatan (kolusi dan nepotisme) dan maraknya tradisi rasuah (korupsi). Era Reformasi (1998) telah dapat menutup keran-keran rasuah dan mementingkan kelompok itu menjadi sistem perekrutan yang berangsur membaik. Pada sektor swasta tentu wajahnya lebih bebas, meskipun unsur-unsur rasuah dan kolusi (mengutamakan aspek keluarga dan kelompok) masih tetap ada.

Melihat kepentingan Islam, graduan-graduan Islam mestinya melintasi setiap sektor dan departemen yang ada di dalam pemerintahan. Dunia perbankan-akuntansi-bisnis, kesehatan, angkatan militer dan jajaran kepolisian, pertanahan, pendidikan memerlukan tenaga-tenaga ahli daripada graduan Islam. Khasnya; graduan pengajian al-Qur'an dan al-Hadith perlu menunjukkan kemampuannya untuk "membumikan" ajaran al-Qur'an dan al-Hadith dalam keseharian, seperti yang dilakukan oleh penulis-penulis Nusantara, diantaranya Falsafah Hidup oleh Hamka, "Membumikan al-Qur'an" oleh M. Quraish Shihab, dan lain sebagainya. Graduan Pengajian Dakwah dan Pembangunan Insan perlu menubuhkan satu kajian yang baik tentang Dakwah Islam yang rahmat li al-'alamin, dakwah kultural yang humanis, dan lain lagi. Bagi para graduan Aqidah dan Pemikiran Islam perlu juga melahirkan tradisi berfikir yang boleh melindungi Islam dari gaya pemikiran, watak, dan perilaku ala Iblis (Diabolisme Pemikiran) [baca Syamsuddin Arif, Diabolisme Pemikiran Islam, 2008; 143-147).

Jika orientasi kerjaya para graduan Islam itu sebatas mengejar peluang menjadi pegawai kerajaan (pegawai negeri sipil), memanglah sangat pelik. Selain daripada keterhadan lapangan, tentunya kos dari masing-masing departemen itu sangat bergantung kepada budget kerajaan. Oleh itu, jangan berfikir untuk "mencari" pekerjaan tetapi bagaimana memulai dengan azam untuk "mencipta" pekerjaan. Selain itu, manfaatkan setiap peluang yang ada, sehingganya tidak menjadi beban kepada pemerintah dan orang lain.

Menambah kaedah kecemerlangan di dunia kerjaya ini, penulis mahu mengutip daripada milist tetangga kita, Brunei Dar al-Salam. Mereka melihat perlunya para graduan Islam akan kemahiran, inisiatif dan cekap berkomunikasi. Hal itu disampaikan oleh Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri berkenan mengurniakan Anugerah Pelajar Terbaik kepada seorang graduan di Majlis Konvokesyen Ke-16 Institut Teknologi Brunei (ITB), Berakas, Isnin, 21 Mei 2007 yang lalu.

Pada kesempatan itu DYTM berpesan, graduan hendaklah mempunyai kemahiran (penulis melihat ini sebagai bahasa lain daripada skill/profesionalisme) dan ilmu pengetahuan, inisiatif, latihan praktikal, mahir dalam berkomunikasi dan cekap dalam bahasa Inggeris, di samping latihan yang diterima dari institusi pengajian tinggi. Ini adalah ciri-ciri yang perlu diambil perhatian untuk menjadikan graduan yang boleh dipasarkan di peringkat antarabangsa dalam memasuki pekerjaan lebih mencabar.

DYTM juga menyarankan supaya pihak-pihak berkepentingan di negara ini akan meneruskan usaha dalam memastikan apa jua rancangan pendidikan atau kursus yang hendak ditawarkan perlulah lebih memfokus kepada bidang atau kerjaya di sektor yang menghendakinya demi mengelakkan satu daripada punca pengangguran siswazah iaitu 'mismatch' ataupun kemahiran graduan tidak sesuai dengan keperluan majikan. Terdahulu DYTM bersabda, pengangguran di kalangan lepasan graduan masih wujud di negara ini sungguhpun pelbagai usaha telah diambil oleh kerajaan dan pihak sektor swasta dalam menangani permasalahan tersebut. "Dalam menyahut cabaran ini, graduan hendaklah juga bersedia merebut peluang yang terbuka luas walaupun terpaksa meninggalkan negara untuk bekerja".

DYTM, dalam sabdanya juga menyeru para graduan agar dapat menjadikan diploma yang diperolehi sebagai wadah ke arah menuntut ilmu yang lebih jauh dan luas yang mapan dan syumul. "Janganlah mudah berpuas hati dengan apa yang telah dicapai, malah hendaklah menanamkan azam dan tekad untuk memburu kecemerlangan dalam kemahiran".

Oleh yang demikian sabda DYTM adalah menjadi tanggungjawab para graduan untuk membuktikan kepada masyarakat bahawa mereka merupakan produk yang berkualiti, bertanggungjawab dengan memiliki daya saing dan daya tahan yang teguh serta mempunyai pengetahuan serta kemahiran dan iltizam yang tinggi. (http://www.brunet.bn/news/pelita/23mei/2007/ ).

Pada ulasan epilog ini, penulis ingin menegaskan bahawa, dengan kecekapan dan profesionalisme tinggi [qul kull ya'mal 'ala shakilatih] para graduan Islam, tidak lagi akan dihadapkan pada masalah; sulitnya menempuh dunia kerja yang kian kompetitif dan mencabar. Wa Allahu A'lam….

*Pelajar Master Pengajian Islam University of Malaya
S1 (IAIN Imam Bonjol Padang)
S2 (University of Malaya)
**Profesor Tafsir pada Jabatan al-Qur'an dan al-Hadith University of Malaya
S1 (Univeristy of Malaya)
S2 (University of Jordan)
S3 (University of Wales United Kingdom)

Tidak ada komentar:

Posting Komentar