Jumat, 15 Agustus 2008

Seiras Tapi Tak Sama: Kajian Terhadap Huruf Fa’ dan Thumma dalam al-Qur’an
Oleh: Jannatul Husna*

Menarik sekali jika mendengarkan huraian keindahan dan ketinggian dhouk bahasa al-Qur’an yang selalu disampaikan oleh Prof. Dr. Zulkifli Mohd Yusoff di Ikim FM setiap pukul 7.30 pagi sampai sekitar pukul 8.00. Pensharah penulis, pada Jabatan al-Quran dan al-Hadith Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya ini dengan sangat apik dan padat telah mendedahkan tajuk “Seiras Tapi tak Sama” kepada khalayak. Kajian-kajian ilmu al-Qur’an yang disampaikan oleh Alumni Master of Art University of Jordan dan PhD Ulum al-Qur’an pada University of Wales United Kingdom ini telah kembali membangkitkan minat penulis untuk mengeksplor semula perbahasan kajian bahasa al-Qur’an. Apa yang telah disampaikan mengingatkan saya kepada ustaz Dr. Saidan Lubis, semasa saya menuntut dahulu di Madrasah Aliyah Program Khusus di Padang Panjang Sumatera Barat. Dianya sangat memiliki minat yang tinggi dalam bidang bahasa al-Qur’an ini. Hafizahu Allah—semoga Allah selalu memberi perlindungan kepada beliau.

Pagi ini, Jumaat 15hb Ogos 2008, Prof. Zulkifli telah mengembalikan nostalgia ilmiah saya itu kepada penjelasan ustaz Dr. Saidan semasa di MAPK tempo dahulu. Dipandu oleh pengerusi majlis Ikim FM, Ust. Zamri (kalau saya tak silap), Prof. menjelaskan perkara huruf fa’ dan thumma serta implikasinya kepada tafsir al-Qur’an.

Prof. Zulkifli, dengan mengikut pandangan al-Iskafi menjelaskan bahawa antara huruf fa’ dan thumma mempunyai perbezaan yang jauh. Kalau huruf fa’ menunjukkan hasil yang cepat dan tidak memerlukan masa (gap) yang lama, tetapi huruf thumma memerlukan masa (gap) yang agak lama, ada kelengahan dan yang seumpama dengannya. Prof. menunjukkan ayat QS. Al-Kahf: 57 yang berbunyi, “waman azlamu mimman dhukkira bi ayat Rabbihi fa a’rada ‘anha wa nasiya ma qaddamat yadahu…”. Dan ayat QS. Al-Sajadah: 22 yang berbunyi, “waman azlamu mimman dhukkira bi ayat Rabbihi thumma a’rada ‘anha inna mina al-mujrimin muntaqimun”.

Ayat QS. Al-Kahf: 57 yang disebutkan dengan memakai huruf fa’ (fa a’rada) mengisyaratkan hukuman bagi mereka yang menentang ayat-ayat Tuhan itu akan diberlakukan di dunia, tanpa perlu menunggu kedatangan periode akhirat (hari kiamat). Hukuman di dunia iaitu semisal Allah menutup pintu hatinya. Sedangkan ayat QS. Al-Sajadah: 22 yang disampaikan Allah dengan memakai huruf thumma (thumma a’rada) menunjukkan hukuman itu akan ditimpakan di akhirat kelak.

Selain menghurai ayat di atas, Prof. sebelumnya. juga telah menggiring pendengar dengan contoh penggunaan huruf fa’ dan thumma yang amat mudah untuk dipahami. Dia berkata, “Dia sarapan pagi, lalu (dengan huruf fa’) bergegas ke pejabat”. Artinya tidak menghendaki masa yang lama antara dia sarapan dengan pergi ke pejabat. Contoh yang kedua, “Dia tidur di dalam kelas, lalu (dengan menggunakan huruf thumma) dia gagal dalam pengajian”. Artinya menghendaki masa tertentu antara dia tidur di kelas dengan informasi gagalnya dia dalam pengajian.

Apa yang telah didedahkan Prof. ini ingin saya kongsikan pula dengan penjelasan al-Ghalayayni dalam Jami’ al-Durus al-‘Arabiyyah dan Sibawayh dalam al-Kitabnya. Pada bab “Ma’ani Ahruf al-‘Ataf”, al-Ghalayayni menjelaskan tentang makna huruf fa’ itu dengan “takunu li al-tartib wa al-ta’qib”. Dia memberi contoh kepada “ja’a ‘Aliyy fa Sa’id—Ali telah datang lalu si Sa’id”. Maksudnya antara kedatangan Ali (yang pertama) dengan Sa’id (yang kedua) tidaklah memerlukan rentangan masa (bila muhlah bayna maji’ihima).

Adapun mengenai huruf thumma, al-Galayayni mencatat bahwa ianya “takunu ti al-tartib wa al-tarakhiy”. Dia memberi contoh yang hampir sama dengan sebelumnya “ja’a ‘Aliyy thumma Sa’id—Ali telah datang lalu (kemudian) si Sa’id”. Maksudnya antara kedatangan Ali dengan Sa’id memerlukan masa yang agak lama (wa kana bayna maji’ihima muhlah). (al-Ghalayayni; 1417H/1997M, 245. j. 3).

Sementara jauh sebelumnya, Sibawayh turut menulis perkara ini pada “bab al-fa’” dalam al-Kitabnya. Dia telah mengutip ayat QS. Al-Nahl: 40 dan QS. Yasin: 82 tentang “kun fa yakun”. Dianya berkata “ka’annahu qala [innama amruna dhak fa yakun]—seolah-olah (Allah) berfirman [sesungguhnya urusan kami begitu, maka jadilah ia begitu]”. Penjelasan al-Imam fi al-Nahw ini seolah-olah menunjukkan tidak ada lagi rentang masa, ketika huruf fa’ dipakaikan dalam sebuah pernyataan. (Sibawayh; 1420H/1999M, h. 39, j. 3).

Pada bagian lain Sibawayh menulis “in ta’tini fa ana sahibuka—jika anda datang kepada saya, maka saya adalah teman anda” (ibid. h. 72, j. 3). Kenapa tidak digunakan huruf thumma, ataupun waw? Agaknya kerana masa yang diperlukan untuk berteman itu tidak jauh lagi. Asalkan dia datang, maka dia sudah boleh langsung menjadi teman, tidak perlu menunggu nanti apatahlagi esok. Wallahu a’lam.

Sumber Bacaan
Al-Shaikh Mustafa al-Ghalayayni. 1417H/1997M. Jami’ al-Durus al-‘Arabiyyah. Beyrut: al-Maktabah al-‘Asriyyah. cet. 33

‘Umar bin Uthman bin Qambar “Sibawayh”. 1420H/1999M. al-Kitab. Tahqiq: Imil Badi’ Yakub. Beyrut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah. Cet. 1
*Pelajar Master APIUM
Kuala Lumpur
014-2654654

Tidak ada komentar:

Posting Komentar