Kamis, 06 November 2008

AL-TAQĀBUL DALAM AL-QURAN
Oleh: JANNATUL HUSNA*
IGB 080008


SEBUAH PENGANTAR

Perbincangan mengenai al-taqābul (muqābalah) banyak dijumpai di dalam perbahasan ilmu al-balāghah. Sebagaimana dimaklumi bahawa dalam ilmu al-balāghah terdapat kajian tentang ilmu al-bayān, ilmu al-ma’ānī dan ilmu al-badī’. Dalam cabang ilmu al-badī’ inilah wujud pembicaraan tentang al-taqābul itu. Adapun dalam kajian tafsir atau ‘ulūm al-Quran jarang sekali ditemui perbahasan ke arah tajuk tersebut. Meskipun begitu, secara praktikal, al-taqābul dalam perspektif al-Quran tentulah sangat mungkin berlaku. Oleh sebab ini, maka pentakrifan terhadap al-taqābul fiy al-Qurān merujuk kepada defenisi yang berkembang di dalam al-muqābalah fiy ‘ilm al-balāghah.

Secara ringkasnya, al-taqābul dalam perbahasan ilmu tafsir iaitu berhubungkait dengan ayat-ayat al-Quran yang selari antara satu dengan lainnya. Setelah disebutkan ayat yang sama lalu diikuti oleh lawannya secara sistematik. Banyak diantara ulama tafsir menghurai permasalahan ini, diantara yang lebih hampir ialah Prof. Dr. M. Quraish Shihab, dalam bukunya Mukjizat al-Quran. Beliau menjelaskan keunikan dan ketinggian bahasa al-Quran sebagai bagian daripada makjizat al-Quran itu sendiri. Selain itu, beliau juga mengupas masalah makjizat ilmiah (sains moden) dan lakaran sejarah yang bakal terjadi yang diprediksikan (diramalkan) oleh al-Quran sejak kurun ke empat belas yang lalu.

Perbahasan daripada ulama Tafsir kebanggaan masyarakat Nusantara ini telah membuka minda umat Islam yang mahu menggali warisan Ilāhi. Betapa bahasa al-Quran ini sangat hebat dan luar biasa. Maka pantas kiranya, pakar-pakar syi’ir era jahiliah bertekuk lutut di hadapan al-Quran, kerana bahasanya yang unik dan sangat berkesan. Diantara bentuk keunikan itu ialah, bilangan kata al-layl selalu bergandengan sama dengan kata al-nahār, kata al-nūr (bentuk mufrad—singular) disandingkan dengan kata al-zulumāt (bentuk jama`—plural), dan sebagainya. Ini dalam rahasia kata perkata, belum lagi rahasia kalimat perkalimat atau topik yang sedang dibicarakan (mawdū’ī). Insya Allah tajuk inilah yang akan penulis jelaskan. Mudah-mudahan akan mendapat ‘ināyah daripada Allah, amin.


AYAT-AYAT AL-TAQĀBUL DALAM AL-QURAN

1. QS. Al-Fajr [89]: 15 dan QS. Al-Fajr [89]: 16
“fa ammā al-insān idhā ma ibtalāhu Rabbuhū fa akramahū wa na’amahū fa yaqūlu Rabbī akraman”.

Maksudnya: “maka adapun manusia (kafir) apabila mencuba akan dia oleh Tuhannya (dengan nikmat) maka memulia akan dia (oleh Tuhannya dengan harta dan kebesaran dan anak isteri dan jadi akan dia bersuka dengan nikmat Allah), maka kata ia Tuhan aku memulia akan daku”.

“wa ammā idhā ma ibtalāhu faqadara ‘alayhi rizquhu fayaqūlu Rabbī ahānan”.
Maksudnya: “dan adapun apabila mencuba akan dia (dengan miskin hina) maka sempit atasnya akan rezekinya, maka kata ia Tuhanku menghina akan daku”.

2. QS. Al-Zumar [39]: 71 dan QS. Al-Zumar [39]: 73
“wasīqa alladhīna kafarū ilā Jahannam zumarā hattā idhā jā`ūhā futihat abwābuhā wa qāla lahum khazanatuhā; alam ya`tikum Rusulun minkum yatlūn ‘alaykum āyāt Rabbikum wa yundhirukum liqā`a yawmikum hādhā. Qālū balā walākin haqqat kalimat al-‘azāb ‘alā al-kāfirīn”.

Maksudnya: “dan dahulu segala orang-orang kafir itu kepada neraka berpuak-puak, hingga apabila datang mereka itu akan neraka dibuka segala pintunya neraka itu. Dan kata bagi mereka itu oleh segala pegawainya; tiadakah datang akan kamu itu oleh Rasul daripada bangsa kamu baca atas kamu segala ayat hukum Tuhan kamu dan menakuti mereka itu akan kamu bertemu hari kamu ini? Kata mereka itu sebenar ada dan tetapi telah wajib kalimat hukum azab Allah itu atas segala kafir-kafir”.

“wasīqa alladhīna ittaqaw Rabbahum ilā al-jannah zumarā hattā idhā jā`ūhā wa futihat abwābuhā wa qāla lahum khazanatuhā; salām ‘alaykum tibtum fadkhulūhā khālidīn...”.

Maksudnya: “dan dahulu dengan kemuliaan akan segala kenaikan orang-orang yang takut akan Tuhan mereka itu berpuak-puak, hingga apabila datang mereka itu akan surga dan dibuka segala pintunya memulia bagi mereka itu, dan kata bagi mereka itu oleh segala pegawai surga; selamat atas kamu kesukaan kamu dengan taat Allah maka masuk oleh kamu akan dia surga hal kamu kekal selama-lama”.

3. QS. Al-A`rāf [7]: 146
“…wa in yaraw sabīl al-rushd lā yattakhidhūhu sabīlā”.
Maksudnya: “…dan jika lihat mereka itu akan hidayah (yang datang daripada Allah Ta’ālā) tiada ambil mereka itu akan dia perbuat tempat berjalan”.

“wain yaraw sabīl al-ghayy yattakhidhūhu sabīlā…”.
Maksudnya: “dan jika lihat mereka itu akan jalan dalālah (sesat) ambil mereka itu akan dia perbuat berjalan dengannya…”.

4. QS. Al-Tawbah [9]: 67-68 dan QS. Al-Tawbah [9]: 71-72
“al-munāfiqūn wa al-munāfiqāt ba’duhum min ba’d, ya`murūn bi al-munkar wa yanhawna ‘an al-ma’rūf…”.

Maksudnya: “segala lelaki munāfiqīn dan segala perempuan munāfiqīn setengah mereka itu daripada setengah (yang lain) menyuruh mereka itu dengan munkar kufur dan maksiat, dan menegah mereka itu daripada makruf kebajikan”.

“wa al-mu`minūn wa al-mu`mināt ba’duhum awliyā` ba’d, ya`murūn bi al-ma’rūf wa yanhawna ‘an al-munkar…”.

Maksudnya: “segala mukminin lelaki dan segala mukminin perempuan itu setengah mereka itu wali setengah (yang lain) meyuruh mereka itu dengan segala kebaikan dan menegah mereka itu daripada segala kejahatan”.

5. QS. Al-Inshiqāq [84]: 7-8 dan QS. Al-Inshiqāq [84]: 10-11
“fa ammā man ūtiya kitābahu bi yamīnihī; fa sawfa yuhāsabu hisāban yasīrā…”.
Maksudnya: “maka adapun mereka yang diberi suratan amalannya dengan tangan kanannya (iaitu orang mukminin) maka lagi dihisab akan dia akan sebagai hisab yang sedikit…”.

“wa ammā man ūtiya kitābahu warā`a zahrih; fa sawfa yad’ū thubūrā…”.
Maksudnya: “dan adapun mereka yang diberi surat amalannya pada sebelah belakangnya (iaitu kafir) maka lagi akan menyeru ia dengan kata hai kebinasaan-kebinasaan aku…”.


PENTAFSIRAN ULAMA TERHADAP AYAT AL-TAQĀBUL FIY AL-QURĀN

1. QS. Al-Fajr [89]: 15 dan QS. Al-Fajr [89]: 16

Pada ayat 15 surat al-Fajr ini Allah s.w.t. telah menyatakan tentang keadaan orang-orang kafir (ingkar), apabila dianugerahkan kepada mereka itu akan nikmat dan kesenangan hidup di dunia ini, maka mereka menganggap itu sebagai penghargaan dan kasih sayang Tuhan bagi mereka. Menurut Hasan al-Himsiy, kata ibtalāhu merupakan ujian (imtahanahu) daripada Tuhan dengan menjadikan nikmat atas mereka, lalu mereka berkata bahawa Tuhan telah memuliakan saya (akramanī) dengan karunia ini, tetapi pada akhirnya mereka lupa untuk mensyukuri nikmat-Nya itu.

Qādī Jatrā mentafsirkan ayat ini sebagaimana berikut,

“Maka adapun manusia kafir apabila mencuba akan dia oleh Tuhannya dengan nikmat, maka memulia akan dia oleh Tuhannya dengan harta dan kebesaran dan anak istri, dan jadi akan dia bersuka dengan nikmat Allah, maka kata ia; Tuhan aku memulia akan daku”.

Daripada pentafsiran-pentafsiran dan penjelasan maksud ayat diatas dapat diambil kesimpulan bahawa sifat orang kafir itu terlalu cepat melupakan perkhidmatan dan kebaikan orang lain bahkan karunia daripada Tuhannya sendiri. Hal ini tentu berbeza dengan apa yang berlaku kepada orang-orang yang beriman, apabila mereka mendapatkan nikmat daripada Allah, maka mereka akan bersyukur atas anugerah itu sehingga menggunapakai karunia yang telah diberi. Misalnya apa yang dialami oleh Nabi Sulaiman a.s., ketika beliau menyeru kepada para pembesar kerajaannya untuk mendatangkan aras kerajaan Ratu Bulqis, sebelum rombongan kafilah tersebut tiba di kerajaan Sulaiman a.s.. Berkatalah Jin ‘Ifrīt, dengan mengesahkan dirinya sendiri sebagai makhluk yang kuat lagi terpercaya, mampu mendatangkan permintaan Nabi Sulaiman a.s. itu dalam masa yang singkat, iaitu sebelum dia (Nabi Sulaiman) bangun daripada duduknya semula.

Mendengar kenyataan Jin ‘Ifrīt itu, maka berkata jugalah seorang yang berilmu, bahawa dia akan mendatangkan arash itu lebih cepat lagi daripada ‘Ifrīt, iaitu sebelum mata Nabi Sulaiman berkedip. Menurut Qādī Jatra, lelaki itu adalah Āsif bin Barkhiyā (seorang Menteri pada kerajaan Nabi Sulaiman a.s.). Dianya sangat benar ketahui ism Allah al-A’zam (nama-nama Allah yang Maha Agung) yang apabila berdoa dengannya diterima. Maka berdoalah Āsif bin Barkhiyā dengan doa, “yā Ilāhanā wa Ilāha kulli shay` Ilāhan Wāhidan lā Ilāha illā Anta ātinī bi’arshihā; ya Tuhanku dan Tuhan segala sesuatu Tuhan yang Maha Esa, tiada Tuhan melainkan Engkau datangkanlah kepadaku arasynya itu”. Seruan doa Āsif bin Barkhiyā itu tampaknya dikabulkan, maka Allah menyuruh Malaikat untuk menanggung arasy-nya Ratu Balqis hingga ke hadapan kursi Nabi Sulaiman a.s.. Tatkala Nabi Sulaiman a.s. melihat kenyataan itu, maka bersujudlah dia sebagai tanda syukur, lalu dia pun berkata, hadhā min fadl Rabbī liyabluwanī a`ashkuru am akfur; itulah daripada karunia Tuhanku mencuba Ia akan daku adakah aku syukur atau aku kufur.

Demikian gambaran orang-orang yang beriman dikala diri mereka memperolehi nikmat daripada Allah s.w.t. Bukan sahaja karunia itu dianggap sebagai pemberian percuma, tanpa perlu kesyukuran. Sebab anugerah-nikmat boleh menjadi berkah kalau disyukuri dan mendatangkan kenistaan bila diingkari. Sepertimana dalam firman Allah, “la in shakartum la azīdannakum wa lain kafartum inna ‘adhābī la shadīd; jika kamu bersyukur maka aku tambahkan (nikmatku) kepada kamu, namun jika kamu kufur maka azabku amat pedih”.

Pada ayat 16 surat al-Fajr diatas kemudian Allah s.w.t. menceritakan lagi sifat orang kufur yang kedua. Setelah mereka merasa dimuliakan dengan karunia nikmat yang banyak, akan tetapi mereka lupa untuk mensyukurinya. Lalu, ketika mereka ditimpakan dengan cobaan dengan dihadkannya rezeki ke atas mereka, maka mereka menganggap bahawa Tuhan telah menghinakan atau menjadikan mereka hina-dina. Kata fa qadara ‘alaihi rizquhu ditafsirkan oleh al-Himsiy dengan fa dayyaqahu ‘alayhi wa lam yabsuthu lahu. Ertinya, maka disempitkan ke atasnya (rezeki) dan tidak dibukakan lagi (pintu-pintu karunia) baginya.

Menurut ulasan Sāhib Tafsīr Nūr al-Ihsān,

“Dan adapun apabila mencuba (Allah) akan dia dengan miskin hina maka sempit atasnya akan rezekinya, maka kata ia; Tuhanku menghina akan daku. Inilah kelakuan kebanyakan manusia kaya itu dikata Tuhan kasih papa dikata benci. (Padahal) tak akan ada begitu yakni tiada mulia (akraman) dengan kaya dan hina (ahānan) dengan miskin, (kerana ukuran) mulia dengan iman dan taat, (sedangkan ukuran) hina dengan kufur dan maksiat”.

Begitulah karakter kufur yang didedahkan oleh Allah kepada orang yang beriman. Sebuah padanan firman yang selari (al-taqābul fī al-Qurān), dimana setelah Dia menyebutkan sifat orang kafir yang dekil, malas bersyukur saat ditimpakan dengan kelapangan rezeki, walaupun mereka akhirnya berkata “akraman”, Tuhan telah memuliakan aku. Kemudian Allah menggandingkan lagi dengan karakter kedua, semasa orang kafir itu dihadkan rezeki ke atas mereka, lalu mereka berkata “ahānan”, Tuhan telah menghinakan aku. Padahal ukuran mulia dan hina itu tidak terletak pada kelapangan rezeki (kekayaan) dan kepapaan (keterhadan), hanya sahaja ukuran kemuliaan dan kehinaan itu wujud pada keimanaan dan kekufuran seseorang.


2. QS. Al-Zumar [39]: 71 dan QS. Al-Zumar [39]: 73

Pada ayat ini Allah s.w.t. menerangkan dua kelompok manusia yang mendapatkan balasan atas apa yang telah dikerjakannya selama masa hidup di dunia dahulu. Pada ayat 71, Allah s.w.t. menjelaskan tentang keadaan orang-orang kafir yang menerima neraka sebagai tempat tinggalnya, “wasīqa alladhīna kafarū ilā Jahannam zumarā; dan dahulu segala orang-orang kafir itu kepada neraka berpuak-puak”.

Pada ayat selanjutnya, dengan redaksi kalimat ayat yang hampir sama Allah s.w.t. menjelaskan pula keadaan ahli-ahli kelompok surga yang disambut dengan sangat gembira oleh para pegawai-pegawai Dār al-Ni’am itu. Allah berfirman, “wasīqa alladhīna ittaqaw Rabbahum ilā al-jannah zumarā hattā idhā jā`ūhā wa futihat abwābuhā wa qāla lahum khazanatuhā; salām ‘alaykum tibtum fadkhulūhā khālidīn...; “dan dahulu dengan kemuliaan akan segala kenaikan orang-orang yang takut akan Tuhan mereka itu berpuak-puak, hingga apabila datang mereka itu akan surga dan dibuka segala pintunya, dan berkata pegawai surga kepada mereka; selamat atas kamu kesukaan kamu dengan taat Allah maka masuk oleh kamu akan dia surga hal kamu kekal selama-lama…”.

Menurut al-Rāzī dalam penjelasan kitab tafsirnya,

“I’lam annahū Ta’ālā lammā sharaha ahwāl ahl al-‘iqāb fiy al-āyah al-mutaqaddimah, sharaha ahwāl ahl al-thawāb fiy hādhihi al-āyah (wasīqa alladhīna ittaqaw Rabbahum ilā al-jannah zumarā)”.

Maksudnya: “ketahuilah bahawa Allah Ta’ālā semasa menerangkan hal ehwal ahl al-‘iqāb pada ayat sebelumnya, lalu Dia menjelaskan hal ehwal keadaan ahl al-thawāb pada ayat ini (wasīqa alladhīna ittaqaw Rabbahum ilā al-jannah zumarā)”.

Demikian tampak jelas ketinggian dan keserasian bahasa ayat-ayat al-Quran. Setelah Allah menjelaskan kondisi teruk yang diterima oleh ahli neraka dengan segenap “permainan yang mengkhuatirkan” yang ada didalamnya. Kemudian Allah menggambarkan lagi suasana yang penuh kenikmatan di dalam surga, yang diterima oleh ahli-ahli taat ketika mereka hidup di dunia dahulu.

Menelusuri penggunaan kata “wasīqa daripada al-sūq”, jika digunakan kepada ahli neraka, ianya masuk akal (ma’qūl), tetapi agak sedikit “janggal” bila disandarkan kepada ahli surga. Kerana jika disuruhkan kepada penduduk neraka itu untuk segera berangkat ke tempat azab dan kesengsaraan, mestilah mereka merasa berat dan sangat tidak suka. Bagaimana mungkin penduduk surga merasa enggan dan berat bila diseru untuk pergi ke tempat yang penuh dengan kenikmatan dan kesenangan?

Maka ulasan al-Rāzī berikut amat berkesan. Beliau berkata, penggunaan kata “wasīqa” terhadap orang-orang mukmin yang taat kerana kecintaan mereka terhadap saudara-saudara mereka yang kurang beruntung, menyebabkan mereka berat hati untuk melangkah ke surga. Oleh itu, dengan sisa amalan kebaikan dan sedekah, mereka mahu saudara mereka ikut serta bersamanya. Sebagaimana firman Allah, “al-akhillā` yawma`idhin ba’duhum li ba’d ‘aduww illā al-muttaqīn; persaudaraan pada hari itu malah menjadi permusuhan kecuali apa yang berlaku pada orang-orang yang bertakwa”. Maka apabila dikatakan kepada salah seorang daripada mereka itu pergilah ke surga, maka mereka menjawab: saya tidak akan memasukinya sehingga saudara-saudaraku, sahabat-sahabatku memasukinya. Maka terlambatlah mereka oleh sebab ini, dan menjadi sangat berat bagi mereka untuk segera memasuki surga.


3. QS. Al-A`rāf [7]: 146

Satu lagi ayat al-Quran yang memiliki perimbangan (al-taqābul). Meskipun hanya dalam satu ayat, namun didalamnya terkandung beberapa variabel. Adapun variabel yang penulis maksudkan ialah cara orang-orang kafir (orang yang mendustakaan agama Allah) menerima petunjuk dan memilih jalan kehidupan. Apabila mereka diberikan jalan kebaikan (petunjuk), tetapi sengaja ditolak (tidak diambil kira). Seperti dalam firman-Nya, “…wa in yaraw sabīl al-rushd lā yattakhidhūhu sabīlā”; “…dan jika mereka melihat akan jalan hidayah (yang datang daripada Allah Ta’ālā), tiada mereka ambil itu sebagai tempat berjalan”.

Demikian sebaliknya, apabila mereka melihat jalan kesesatan, maka mereka ambil jalan itu sebagai panduan hidup. Sebagaimana firman Allah, “wain yaraw sabīl al-ghayy yattakhidhūhu sabīlā…”; “dan jika mereka melihat akan jalan dalālah (sesat) mereka ambil jalan itu sebagai tempat berjalan dengannya…”. Hal ini bagaikan memilih dunia serta mencampakkan akhirat dengan harga yang sangat murah, tiadalah beruntung perdagangan seperti ini.

Al-Alūsī dalam kitabnya menjelaskan ayat-ayat ini;

“wa in yaraw sabīl al-rushd (ayy tarīq al-hudā wa al-sadād) lā yattakhidhūhu sabīlā (ayy lā yatawajjahūna ilayhi walā yaslukūnahu aslant li istīlā` al-shaytanah ‘alayhim”.

Maksudnya: “dan jika mereka melihat jalan petunjuk dan kebaikan, maka mereka tidak menghadapkan wajah kepadanya dan tidak mau menempuhnya kerana pengaruh jiwa-jiwa ke-shaitanan yang ada di dalam diri mereka”.

“wain yaraw sabīl al-ghayy (ayy tarīq al-dalāl) yattakhidhūhu sabīlā (ayy yakhtārūnahu li anfusihim maslakan mustamirran lā yakādūn ya’dilūna ‘anhu limuwāfaqatihī li ahwā`ihim wa ifdā`ihī bihim ilā shahwātihim”.

Maksudnya: “dan jika mereka melihat akan jalan dalālah (sesat), maka mereka pilih jalan itu untuk diri mereka sebagai tempat berjalan dengannya selalu, bahkan hampir sahaja mereka tidak mempertimbangkan (baik-buruk) ekses daripada nafsu shahwat mereka (dengan pilhan itu).


4. QS. Al-Tawbah [9]: 67-68 dan QS. Al-Tawbah [9]: 71-72

Pada ayat ini Allah s.w.t. menceritakan karakteristik daripada golongan orang-orang munafik secara terperinci. Diantaranya ialah mereka akan menjadi saksi bagi selainnya (atas kemunafikannya itu). Kemudian mereka cenderung menyuruh kepada kemungkaran dan menegah untuk membuat kebaikan, enggan bahkan melarang orang lain untuk berderma dalam ketaatan, mereka melupakan Allah s.w.t. sehingga Allah s.w.t. pun melupakan mereka. Orang-orang munafik (pada ayat selanjutnya) dijanjikan akan menempati neraka Jahannam dan menjadi warga negara tetap serta duduk disana selamanya, kelak. Mereka menerima ikab atas apa yang mereka perbuat selama di dunia, dilaknat oleh Allah s.w.t. dan kekal dalam kenistaan.

Pada ayat berikutnya, untuk menyelaraskan (menurut hemat penulis) maka Allah s.w.t. menjelaskan pula karakteristik orang-orang beriman yang bertolak belakang dengan sifat-sifat orang munafik seperti didedahkan oleh ayat sebelumnya. Allah s.w.t. telah berkata “wa al-mu`minūn wa al-mu`mināt ba’duhum awliyā` ba’d, ya`murūn bi al-ma’rūf wa yanhawna ‘an al-munkar…”. Dalam ayat ini Allah mengatakan bahawa antara orang mukminin dengan kelompoknya yang lain menjadi wali atas sebagiannya. Orang-orang beriman menyeru kepada kebaikan, menegah kepada kemungkaran, mendirikan salat, menunaikan zakat, dan taat kepada Allah serta Rasulnya. Allah menjanjikan balasan amal bagi kalangan taat ini atas mereka surga, yang mengalir dibawahnya sungai-sungai. Kehidupan dan tempat tinggal yang nyaman, dalam naungan rida Allah s.w.t.. Merekalah golongan yang mendapatkan kasih sayang dan keberuntungan yang amat besar daripada Sang Pencipta jagat raya ini.


5. QS. Al-Inshiqāq [84]: 7-8 dan QS. Al-Inshiqāq [84]: 10-11

Pada kesempatan terakhir ini penulis melihat ayat tentang keadaan manusia saat menerima catatan amalnya semasa di dunia. Bagi kelompok yang taat selama hidup akan menerima rekaman aktivitinya selama di alam fana itu dengan tangan kangan, prosesi hisabnya pun berlangsung dengan mudah, seperti terpatri dalam ayat ini, “fa ammā man ūtiya kitābahu bi yamīnihī; fa sawfa yuhāsabu hisāban yasīrā…”. Adapun golongan kufur, yang menjalani hidup sekehendak hatinya, tanpa mahu peduli dengan aturan dan petunjuk Allah maka, bagi mereka perlakuan yang buruk iaitu menerima kitab amalan daripada belakang lalu menyesal tiada guna, pada akhirnya akan dilemparkan ke dalam neraka. Hal ini dijelaskan oleh ayat, “wa ammā man ūtiya kitābahu warā`a zahrih; fa sawfa yad’ū thubūrā…”.

Qādī Jatrā melukiskan gambaran orang yang menerima kitabnya dengan tangan kanan itu akan dihisab dengan hisab yang sedikit, kemudian mereka masuk ke surga lalu bertemu dengan ahli keluarganya dalam suasana yang sangat menyenangkan. Sedangkan orang-orang kafir, yang diberi surat amalannya daripada belakang (kerana tangan kanannya dibelenggu kepada tengkuknya sementara tangan kirinya terpasung ke sebelah belakang), maka mereka menyeru dengan, “duhai kebinasaan”. Sambil menyesali perbuatan mereka dalam api neraka Sa’īr yang sangat hangat. Mereka sadar bahawa mereka hanya sekedar bersuka-senang pada ahlinya (waktu di dunia dahulu) tetapi tidak mengikuti jalan iman terhadap Allah dan Rasulnya bersama-sama keluarga mereka. Sangkaan (perkiraan) bahawa mereka tiada akan balik lagi kepada Tuhannya dengan dihidupkan kembali pada hari kiamat? Ternyata dugaan itu meleset, akibatnya ialah mereka harus menanggung beratnya azab yang entah bila akan berujungnya. Wallahu a’lam.


BIBLIOGRAPHY

Al-Quran al-Karim
Abd al-‘Azīz ‘Ātiq (1985), ‘Ilm al-Badī’. Beyrūt: Dār al-Nahdah al-‘Arabiyyah
Al-Imām al-Fakhr al-Rāzī (1357H/1938M), Tafsīr al-Kabīr, Al-Qāhirah: al-Bahiyyah al-Misriyyah
Muhammad Hasan al-Himsiy (t.t.), Qurān Karīm Tafsīr wa Bayān Ma’a Asbāb al-Nuzūl li al-Suyūtī, Dimasq-Beyrūt: Dār al-Rashīd
Muhammad Sa’īd bin ‘Umar Qādī Jatrā al-Qadhī (1391H), Tafsīr Nūr al-Ihsān, Thailand: Maktabah wa Matba’ah Muhammad al-Nahdiy wa Awlādihi
Al-Qurān al-Karīm bi al-Rasm al-‘Uthmānī wa bihāmishihi Tafsīr al-Imām al-Jalālayn (1409H/1989M), Beyrūt: Dār Ibn Kathīr
Shihāb al-Dīn al-Sayyid Mahmūd al-Alūsī (1414H/1994M), Rūh al-Ma`ānī fiy Tafsīr al-Qurān al-`Azīm wa al-Sab` al-Mathānī (tashīh: Muhammad Huseyn al-`Arab), Beyrūt: Dār al-Fikr

Tidak ada komentar:

Posting Komentar