Senin, 10 November 2008

Imam Ibn al-Salah dan karyanya 'Ulum al-Hadith
Oleh: Imam Shahira

Nama penuh beliau ialah imam al-Hafiz Syeikh al-Islam Taqi al-Din Abu Amr 'Uthman bin Salah al-Din Abu al-Qasim Abd al-Rahman bin 'Uthman bin Musa bin Abu Nasr al-Nasari al-Kurdi al-Syaruzuri al-Shafi'i. Dikenali sebagai Ibnu al-Salah kepada bapanya yang digelar Salah al-Din.

Dilahirkan pada tahun 577 Hijrah di Syarakhan, sebuah kampong kecil yang termasuk dalam perkampungan shahrazur yang terletak meluas antara Irbil dan Hamadan di utara Iraq. Beliau dinisbahkan kepada perkampungan tersebut dan dipanggil Syarakhani, sebagaimana beliau disebut sebagai Syahrazuri.

Seperti tradisi sebelumnya, anak-anak di zaman tersebut memulakan pendidikannya dengan pengajian al-Quran dan menghafaznya. Imam Ibn al-Salah menghafaz al-Qur'an di negeri kelahirannya. Beliau mendapat didikan langsung dari ayahnya, al-Salah Abd al-Rahman, seorang ulama terkenal dalam mazhab al-Syafi'I mengikut aliran 'Iraq dan Khurasan.

Ibn al-Salah mendapat pendedahan awal dalam ilmu dari bapanya sendiri setelah melihat kebolehan dan bakat anaknya. Dikatakan beliau pernah membaca kitab al-Muhazzab dari bapanya. Beliau juga tidak mengabaikan kepelbagaian sumber ilmunya. Dengan itu beliau ikut berguru dengan ulama-ulama setempat rata-ratanya berketurunan Kurdi.


Rehlah Ilmiah

Menjadi tradisi ulama silam, termasuk Ibn al-Salah merantau bagi menimba ilmu dari ilmuan terkenal di serata pelusuk dunia Islam ketika itu. Beliau tidak berpada dengan ulama-ulama setempat sahaja. Faktor inilah yang mendorong beliau merantau di pelbagai tempat dan ceruk rantau untuk mendengar hadith Rasulullah S.A.W dengan dorongan ayahnya beliau telah menjadikan Mausul sebagai destinasinya yang pertama.

Semasa di Mausul, beliau telah berguru dengan beberapa ulama ternama di sana, diantaranya Abu Ja'far 'Ubayd Allah bin Ahmad al-Warraq. Beliau merupakan guru beliau yang pertama selepas ayahnya, beliau mempelajari dari al-Warraq kitab al-Muhazzab karya Abu Ishaq Ibrahim bin Ali al-Syirazi ( m. 476H ). Karya ini merupakan ringkasan Fiqh mazhab al-Syafi'i. Beliau mempelajari karya ini dengan guru tersebut berkali-kali.

Semasa di Mausul, beliau turut berguru dengan :

1. Nasr Allah bin Salamah bin Salim (m. 598 H )
2. 'Abd al-Muhsin Abu al-Qasim bin 'Abdullah bin Ahmad bin Abd al-Qahir al-Tusi
3. Musa bin Muhammad bin Yunus bin Muhammad al-Mausili ( m. 639 H )
4. Abu Hamid Muhammad bin Yunus al-Arbili ( m. 608H ) merupakan seorang imam di zamannya, pengarang al-Muhit, kitab yang menggabungkan antara al-Muhazzab oleh al-Syirazi dan al-Wasit oleh Abu Hamid al-Ghazali. Ibn al-Salah telah menjadi pembantu kepada tokoh ini yang merupakan guru di Madrasah al-Nizamiyyah.

Beliau juga merantau ke Khurasan, Naysabur, Marwa, dan Qazwayn bagi membolehkan beliau menimba ilmu dari tokoh-tokoh dan ulama di sana. Pengembaraan ini berlaku sebelum serangan Tartar pada tahun 616H. Di antara tokoh yang menjadi guru beliau ketika di Naysabur, Marwa dan Qazwayn :

1. Umar bin Hassan bin 'Ali al-Busti (m.633H)
2. Abu Hassan bin Muhammad bin 'Ali al-Naysaburi (617H)
3. Mansur bin 'Abd al-Mun'im bin 'Abd Allah bin Muhammad bin al-Fadl al-Farawi (m. 608H)
4. al-Muayyid al-Tusi Abu al-Qasim 'Abd al-Rahman bin al-Husyain al-Sya'ri
5. al-Qasim bin Abu Sa'd 'Abd Allah bin Abu Hafs Umar bin Ahmad bin Mansur al-Syafi'i.

Di sinilah beliau mendengar Sahih Bukhari, Sahih Muslim, Sunan al-Kubra dan Madkhal Ila sunan al-Kubra dari sesetengah dari tokoh-tokoh tersebut. Semasa di Marwa pula beliau berguru dengan 'Abd al-Rahim bin Abi Sa'd 'Abd al-Karim al-Sam'ani (m. 617H).

Beliau juga merantau ke Hamadan. Di sini beliau berguru dengan Abu al-Fadl 'Abd al-Rahman bin Abd al-Wahhab bin Saleh al-Hamadani (m.609H).

Semasa di Baghdad, beliau telah mengunjungi tokoh ulama setempat, antaranya :
1. Abu Ahmad 'Abd al-Wahhab bin Abu Mansur 'Ali bin 'Abd Allah al-Baghdadi (m. 607H)
2. Abu Hafs Umar bin Muhammad bin Ma'mar al-Darqani al-Baghdadi (m.607H)

Imam Ibn al-Salah juga merantau ke Syam, destinasi terakhir rehlah beliau. Semasa di sini beliau sempat berguru dan menimba ilmu dari ulama-ulama yang terkenal. Ketika itu juga berlakunya perang Tartar ke atas Negara Islam. Mereka bergerak pada 616H, menguasai Khawarizim, Bukhara, menawan Khurasan hingga ke sempadan Iraq, kemudian ke Quzwayn dan Azarbayjan, diikuti pula ke Irbil, Marwa pada 617H. Menurut al-Dhahabi, dunia berada di tangan mereka pada tahun 618H.

Ringkasnya dari rehlah ilmiah yang berulang kali ini, Ibn al-Salah telah berguru dengan ramai ulama terbilang dalam pelbagai bidang ilmu, Hadith, Tafsir, Fiqh, sejarah dan Bahasa. Inilah yang membolehkan beliau menguasai bidang-bidang keilmuan tersebut.

Pujian ulama-ulama terhadapnya

Berkata Ibn Khalakan anak murid beliau : " beliau di kalangan mereka yang hebat dalam ilmu Tafsir, Hadith, dan Fiqh di zamannya "

Berkata Imam Abu Hafs bin al-Hajib : "Imam yang wara', aqal yang kuat dan mempunyai ilmu yang meluas di dalam bidang usul dan Furu' "

Berkata al-Sakhawi didalam kitabnya Fathul Mughis : "mempunyai ilmu agama yang mendalam, yang lebih mengetahui mengenai mazhab-mazhab, kemahiran yang tinggi dalam ilmu Lughah dan….."

Sahabat-sahabat dan murid-murid Ibn al-Salah

1. Abu Marwan al-Baji Muhammad bin Ahmad bin 'Abd al-Malik al-Isybili (m. 635H)
2. Ishaq bin Ahmad bin Othman al-Maari (m. 650H)
3. Salar bin Umar bin Sai'd al-Irbili al-Dimisyqi (m. 670H)
4. Abu Syamah al-Maqdisi (m.665H)
5. Abu al-Fath 'Umar bin al-Husayn al-Hamawi Ibn Ruzayn (m. 680H)
Dan sebagainya.

Kewafatannya

Beliau kembali ke rahmatullah pada pagi hari rabu 25hb Rabi' al-Thani tahun 643H di Damsyik dan jenazahnya disemadikan di perkuburan al-Sufiyyah di luar Bab al-Nasr setelah jenazahnya disembahyangkan di Masjid Jami' Damsyik.

Karya-karya beliau

Beliau telah meninggalkan pada kita pelbagai karya-karya dalam pelbagai bidang antaranya :

1. Tabaqat al-Fuqaha al-Syafi'iyyah
2. al-Amali
3. Fawaid al-Rehlah : kitab yang merangkumi semua perkara yang berkaitan dengan rehlahnya ke Khurasan.
4. Adab al-Mufti wa al-Mustafti
5. Silah al-Nasik fi Sifat al-Manasik : dihimpunkannya semua masalah-masalah yang berguna yang diperlukan oleh orang ramai dalam urusan Manasik haji.
6. Syarh al-Wasit di Fiqh al-Syafi'I : bermula padanya ijtihad yang mendalam
7. al-Fatawa : dihimpunkan dari pelbagai sahabat-sahabatnya, padanya terdapat banyak ijtihad-ijtihad.
8. Syarh Sahih Muslim
9. al-Mu'talaf wa al-Mukhtalaf fi Asma' al-Rijal
10. 'Ulum al-Hadith : kitab yang terbaik, dan merupakan permulaan yang terbaik dalam penyusunan ilmu Hadith.

Metodologi penulisan Ibn al-Salah

Imam Ibnu Amru telah mendapati buku yang banyak telah ditinggalkan oleh ulama terdahulu, dalam bidang ulum al-Hadith. Tetapi beliau tidak menyempurnakan buku-buku tersebut.

Maka terdapat satu golongan, dan kebanyakan ulama mengikut cara ini dalam penulisan mereka. Iaitu mereka menghimpunkan sanad dan aqwal ulama-ulama Hadith dalam setiap masalah yang terdapat dalam buku mereka dan mereka meletakkan tajuk yang menunjukkan kepada pembaca tentang kandungan masalah atau bahagian seperti cara al- Khatib al-Baghdadi.

Dan golongan yang kedua, mereka merujuk kepada penyusunan kaedah-kaedah ilmu Hadith. Tetapi terdapat kekurangan dalam penyusunan ungkapan dan ta'rif, seperti dalam buku " Ma'rifatu 'Ulum al-Hadith " karangan imam Hakim al-Naisaburi.]

Maka Ibn al-Salah telah mengkaji penulisan-penulisan tersebut dan beliau telah mengeluarkan dan mengimbangnya seterusnya menyusun ilmu-ilmu dan ta'rif-ta'rif tersebut dengan baik.

Maka lahirlah bukunya yang lengkap dalam bidang ilmu Hadith dan beliau menghimpunkan apa yang terpisah ( menghimpunkan kandungan buku-buku yang lain dan meletakkannya di dalam satu buku ), dan membukukan penulisan-penulisan yang terdahulu yang ditulis oleh ulama-ulama 'Ulum al-Hadith.

Ciri-ciri buku Ibn al-Salah

1. Beliau amat meneliti dalam mengeluarkan kaedah-kaedah pengeluaran nas berdasarkan mazhab ulama dan pandangan yang diriwayatkan oleh imam-imam Hadith dalam masalah-masalah 'Ulum al-Hadith. Di samping itu beliau juga hanya mengambil berita-berita yang bersesuaian sahaja.
2. Beliau menyusun ta'rif yang telah disebutkan tetapi secara tak jelas.
3. Beliau juga menyusun ungkapan-ungkapan ulama terdahulu dan beliau menekankan pada tempat yang berlaku tentangan pendapat.
4. Mewujudkan satu dasar ( satu cara ) untuk menyusun pelbagai ilmu Hadith serta undang-undangnya dan perbuatan beliau ini merupakan perbuatan yang amat penting kerana buku-buku yang terdahulu kecuali buku " Ma'rifatul 'Ulum al-Hadith " karangan al-Hakim al-Naisaburi, telah menyusun ilmu tersebut. Walaupun buku-buku terdahulu telah merangkumi ilmu dan pengetahuan yang mendalam, ini menunjukkan usaha yang besar yang dilakukan oleh Imam Ibn al-Salah dalam menyusun karyanya dalam ilmu ini. Di samping itu, ia merangkumi penelitian dan kajian beliau dalam Usul ilmu Hadith dan masalah-masalahnya.
5. Beliau menyusuli pandangan ulama-ulama dengan pandangannya dan ijtihadnya. Dan kebiasaaannya beliau menyebut dengan perkataan " Qultu " saya berkata.. oleh itu pembaca akan merasa bahawa orang yang mengarang buku ini telah mengkajinya dengan baik. Sehingga menjadikannya berjaya mendahului penulisan orang yang sebelumnya. Dimana pembaca akan mendapati pada setiap halaman terdapat pandangan beliau ( Ibn al-Salah ) dan diperhatikan juga sikap rendah diri dan sifat berhati-hati dalam penulisannya. Maka beliau telah mengakhiri setiap perenggan dengan perkataan " Allah Maha Mengetahui ".. Wallahu A'lam

Penamaan buku

Buku ini telah dikenali di kalangan ahli ilmu dengan nama Muqaddimah Ibn al-Salah dan telah disabitkan nama ini di beberapa penulisan dan beberapa cetakannya. Namun nama ini bukanlah nama sebenar yang diberi oleh pengarang.

Oleh kerana buku ini merupakan buku yang paling baik untuk mencapai pengetahuan tentang Hadith Nabawi, dan kami dapati nama buku ini di dalam cetakan Imam Hafiz al-Rahim al-Iraqi " Anwa' 'Ulum al-Hadith " dengan tulisan yang kecil. Dan dalam cetakan anaknya al-Hafiz Ahmad al-Iraqi " Ma'rifat 'Ulum al-Hadis ". dan kami mendapati buku ini jelas dengan nama " 'Ulum al-Hadith "

Manakala dalam cetakan Turki tidak disebutkan nama buku ini pada halaman yang pertama, tapi kami mendapati ia tertulis di cetakan yang dicetak di India dengan nama " Ma'rifat Anwa' 'Ilm al-Hadith "

Disamping itu terdapat banyak tulisan yang menunjukkan bahawa buku ini dinamakan dengan " Ma'rifat Anwa' 'Ilm al-Hadith " seperti mana dalam cetakan awal pada halaman kedua yang terakhir. Ia diakui oleh Imam Abi Ishaq al-Farazi.

Dan kesimpulannya : kami mengakui bahawa nama buku ini ialah " Ma'rifat Anwa' 'Ilm al-Hadith ".

Karya Selepasnya

1. al-Irsyad oleh Nawawi
2. al-Qarir wa al-Taisir
3. Ta'liq 'Ala Ibn al-Salah oleh al-Dumyati
4. al-Nukat oleh al-Zarkasyi
5. al-Fiah fi 'Ulum al-Hadis

Bahan Rujukan

Ibn al-Salah, 'Ulum al-Hadis ( 1423H-2002M), Terbitan Dar al-Fikr al-Mu'asir Beirut
Lubnan.
Artikel dan Majalah al-Bayan Edisi ke 2

Tidak ada komentar:

Posting Komentar