Kamis, 06 November 2008

IMAM AL-SHAWKĀNĪ DAN KITAB NAYL AL-AWTĀR
Oleh: Jannatul Husna
IGB080008


Pendahuluan

Menulis sejarah hidup tokoh-tokoh besar Islam tiada habisnya. Ibarat meminum air laut, yang kian diminum membuat kita semakin haus. Pelajaran berharga dari seorang tokoh ke tokoh lain seharusnya membuat kerinduan kita bertambah untuk melakar sejarah sama bahkan lebih baik daripada mereka. Perjalanan hidup ulama-ulama besar itu penuh cabaran, tidak pernah sepi daripada tohmahan. Meskipun ada sesetengah daripada mereka itu yang berasal daripada kalangan ulama dan cukup harta, namun mereka lebih memilih kebersahajaan dan kesederhanaan. Dalam bahasa populernya kezuhudan dan kewara’an.

Satu kelaziman yang sering dijumpai daripada biografi para ulama terdahulu adalah mereka memulai pelajaran daripada keluarga sendiri (al-umm madrasah…). Banyak ulama Islam lahir dan tumbuh berkat didikan ayahnya atau barangkali ibunya? Kerana bapanya atau ibunya itu ulama (orang yang berilmu) pada zamannya. Hal ini patut diteladani, semoga zurriyat-keturunan kita kelak menemui kita dalam keadaan berilmu agama yang kuat, sehingga mereka dapat menerima turath Islam sedari awal dari keluarganya sendiri. Kemudian yang menarik ialah ulama-ulama Islam terdahulu memulai pengajian dengan mempelajari dan menghafaz al-Quran. Sebuah tradisi sejarah yang hebat. Sebab, kalau al-Quran yang sukar itu telah dikuasai dengan baik, maka cabang-cabang lain daripada ilmu pengetahuan akan turut mudah untuk dipahami.

Lukisan sejarah besar itu diantaranya telah dicipta oleh Imam al-Shawkānī. Berikut dengan penuh keda’ifan, penulis akan mencoba mendedahkan sejarah hidup Imam al-Shawkānī ini sekaligus kaedah penulisan kitabnya, Nayl al-Awtār. Semoga ‘ināyah Allah selalu mengiringi penukilan ini, amin.

Mengenal Imam al-Shawkānī

1. Nama Lengkap

Nama penuh beliau adalah Muhammad bin `Alī bin Muhammad bin Abd Allāh al-Shawkānī al-San`ānī. Imam al-Shawkānī juga digelari dengan Shaykh al-Islām, al-‘Allāmah al-Rabbānī, Imām al-A`immah, Muftī al-Ummah, Bahr al-‘Ulūm, Shams al-Fuhūm, Sanad al-Mujtahidīn al-Huffāz, Fāris al-Ma’ānī wa al-Alfāz, Tarjumān al-Hadīth wa al-Qur`ān, Shaykh al-Riwāyah wa al-Simā’ah, dan masih banyak lagi julukan-julukan agung lain yang disandarkan kepadanya.

2. Kelahiran

Imam al-San’ānī diputrakan pada tengah hari (siang) Isnin, tanggal 28hb Zulqa`dah tahun 1172 H di desa hijrah Shawkān.

3. Riwayat Pendidikan

Adalah Imam al-Shawkānī tumbuh berkembang sebagai kanak-kanak di San’ā`, belajar pada mulanya kepada bapanya sendiri, dia juga menuntut dan mendengar ilmu-ilmu daripada ulama-ulama di kampungnya. Berkat kesungguhan dan keupayaannya yang besar dalam menuntut kepada para guru, maka dia mampu mengkhatamkan al-Quran kepada al-Faqīh Hasan bin Abd Allāh al-Habal. Kemudian dia juga menghafal al-Azhār yang ditulis oleh al-Imām al-Mahdī yang berhubungan dengan kajian fiqh, Mukhtashar al-Farā’id karangan al-‘Usayfirī, al-Milhah karangan al-Harīrī, al-Kāfiyah wa al-Shāfiyah karangan Ibn al-Hājib, al-Tahdhīb karangan al-‘Allāmah al-Tiftāzānī, al-Talkhīs fī ‘Ulūm al-Balāghah karangan al-Qazwīnī, al-Ghāyah karangan Ibn al-Imām. Dikatakan bahawa dia juga banyak melakukan pentelaahan terhadap buku-buku sejarah dan majāmī’ dan sastra bahasa.

4. Guru-guru Imam al-Shawkānī

Adapun diantara guru tempat Imam al-Shawkānī menuntut, selain kepada orangtuanya sendiri—dimana beliau pernah belajar kitab Sharh al-Azhār dan Sharh al-Nāzirī karangan al-‘Usayfirī kepada bapanya—ialah: al-Sayyid al-`Allāmah Abd al-Rahmān bin Qāsim al-Madā`inī (beliau belajar kepadanya kitab Sharh al-Azhār juga), al-‘Allāmah Ahmad bin ‘Āmir al-Hadā`ī, al-‘Allāmah Ahmad bin Muhammad al-Hirāzī. Hampir mencecah masa tiga belas tahun bergaul dengan guru-gurunya ini.

Imam al-Shawkānī juga belajar kitab al-Milhah dan Sharah al-Azhār kepada al-Sayd al-‘Allāmah Ismā`īl bin al-Hasan bin Ahmad bin al-Hasan bin al-Imām al-Qāsim bin Muhamad. Kitab Qawā’id al-I’rāb dan Sharahnya serta al-Hawāshī karangan al-Azharī beliau pelajari kepada al-‘Allāmah Abd Allāh bin Ismā’īl al-Nahmī. Sementara kitab Sharh al-Sayd al-Muftī ‘alā al-Kāfiyah kepada al-‘Allāmah al-Qāsim bin Yahyā al-Khawlānī dan al-‘Allāmah Abd Allāh bin Ismā’īl al-Nahmī. Adapun kitab Sharh al-Jawāmi’ karangan al-Mihlī dan hāshiyah-nya karangan Ibn Abī Sharīf beliau pelajari kepada al-Sayd al-Imām Abd al-Qādir bin Ahmad

Sedangkan kitab-kitab hadith pula seperti kitab Sahīh al-Bukhārī daripada awal hingga ke akhir perbahasan yang terdapat didalamnya, beliau pelajari daripada al-Sayd al-‘Allāmah ‘Alī bin Ibrāhīm bin Ahmad bin ‘Āmir. Kemudian kitab Sahīh Muslim (secara keseluruhan) beliau ambil daripada al-Sayd al-‘Allāmah Abd al-Qādir bin Ahmad, begitu juga dengan perbahasan dalam kitab Sunan al-Tirmidhī (secara keseluruhannya) dan sebagian daripada kitab Muwatta` dan sebagian juga daripada kitab Shifā` al-Qādī ‘Iyād.

Begitu juga, beliau telah mempelajari kitab Jāmi’ al-Usūl, dan sebagian perbahasan dalam kitab Sunan al-Nasā`ī dan sebagian pula daripada kitab Sunan Ibnu Mājah; beliau juga mempelajari semua kajian yang terdapat di dalam kitab Sunan Abī Dāwūd dan Takhrijnya karangan al-Mundhirī, dan sebagian daripada kitab al-Ma’ālim karangan al-Khitābī, dan sebagian daripada sharah Ibn Ruslān. Kesemuanya beliau pelajari kepada al-‘Allāmah al-Hasan bin Ismā’īl al-Maghribī.

Kitab al-Muntaqā karangan Ibn Taymiyah dan sebagian daripada perbahasan kitab Fath al-Bārī, Imam al-Shawkānī pelajari kedua-duanya kepada al-Sayd al-‘Allāmah Abd al-Qādir bin Ahmad. Sementara kitab Bulūgh al-Marām beliau ambil daripada al-‘Allāmah al-Hasan bin Ismā’īl al-Maghribī. Kepada al-Hasan bin Ismā’īl beliau pelajari sebagian daripada kajian kitab Sharh Muslim karangan Imam al-Nawawi. Sedangkan kajian kitab al-Tanqīh fī ‘Ulūm al-Hadīth beliau perolehi daripada al-‘Allāmah al-Hasan bin Ismā’īl al-Maghribī. Dan masih banyak lagi guru-guru yang lain yang tidak tersenaraikan pada kesempatan ini kerana keterbatasan ruang dan banyaknya para guru tempat Imam al-Shawkānī menuntut, sebagai wujud daripada kecintaan beliau terhadap ilmu pengetahuan.

5. Murid-murid Imam al-Shawkānī

Diantara murid-murid yang pernah belajar kepada beliau ialah anaknya sendiri, `Alī bin Muhammad al-Shawkānī. Kemudian Huseyn bin Muhsin al-Sab`ī al-Ansārī al-Yamānī, Muhammad bin Hasan al-Shajnī al-Dhimārī, al-‘Allāmah al-Shaykh Abd al-Haqq bin Fadl al-Hindī, dan al-Sharīf al-Imām Muhammad bin Nāsir al-Hāzimī, dan ramai lagi.

6. Karya-karya Imam al-Shawkānī

Imam al-Shawkānī mempunyai karangan kitab yang banyak sekali, diantaranya;
1. Nayl al-Awtār Sharh Muntaqā al-Akhbār min Ahādīth Sayd al-Akhyār;
2. Adab al-Talab wa Manhiy al-Arab;
3. Tuhfah al-Dhākirīn;
4. Irshād al-Thiqāt ilā Ittifāq al-Sharā’i’ ‘alā al-Tawhīd wa al-Ma’ād wa al-Nubuwwāt;
5. Shifā` al-‘Ilal fī Hukm al-Ziyādah fī al-Thaman li Mujarrad al-Ajal;
6. Sharh al-Sudūr fī Tahrīm Raf’ al-Qubūr;
7. Tayb al-Nashar fī al-Masā`il al-‘Ashar;
8. al-Qawl al-Sādiq fī Hukm al-Imām al-Fāsiq;
9. Dan banyak risālah-risālah (artikel) ilmiah beliau tulis, diantaranya ialah al-Risālah al-Mukammilah fī Adillah al-Basmalah;
10. Risālah al-Qawl al-Muharrir fī Hukm Lubs al-Mu’asfar wa Sā`ir Anwā’ al-Ahmar;
11. Irshād al-A’yān ilā Tashīh mā fī ‘Uqūd al-Jimān; sebuah bantahan terhadap al-Sayd al-‘Allāmah Huseyn bin Yahyā al-Daylāmī;
12. ‘Uqūd al-Jimān fī Bayān Hudūd al-Buldān;
13. Adapun perbahasan yang berhubungkait dengan fatwa-fatwa beliau terangkum dalam kitabnya al-Fath al-Rabbānī, dan masih banyak lagi kitab-kitab mahupun artikel ilmiah lain yang Imam al-Shawkānī tulis semasa hidupnya.

7. Kewafatan

Imam al-Nawawi meninggal dunia pada malam hari Rabu, tanggal 27hb Jumādī al-Ākhirah tahun 1250 H. Semoga Allah menempatkan arwahnya bersama golongan-golongan al-Siddīqīn, Ashāb al-Sālihīn dan para Anbiyā` serta Rasul-Nya, amin.

Kitab Nayl al-Awtār

1. Sejarah Penulisan Kitab

Kitab Nayl al-Awtār merupakan kitab sharahan terhadap Muntaqā al-Akhbār min Ahādīth Sayd al-Akhyār buah pemikiran al-Shaykh al-Imām ‘Allāmah Abū al-Barakāt Majd al-Dīn Abd al-Salām bin Abd Allāh bin Abī al-Qāsim bin Muhammad bin al-Khadar bin Muhammad bin ‘Alī bin Abd Allāh al-Harānī yang lebih popular dengan nama atau sebutan Ibnu Taimiyah (590-652).

Kitab Nayl al-Awtār mengandungi pelbagai hadith-hadith ahkam. Didalamnya terdapat kajian kritik terhadap para periwayat (takhrīj) dan penjelasan terhadap turuq al-hadīth dan perbezaan yang wujud dalam lafaz-lafaznya. Al-Shawkānī juga menjelaskan padanya mana-mana hadith yang sahih dan da’if serta ditunjukkan pula sebab-sebab kelemahan dan pandangan ulama terhadapnya. Yang menjadi pegangan dalam penjelasan tersebut ialah kitabnya al-‘Allāmah al-Hāfiz al-Hujjah Shaykh al-Islām Shihāb al-Dīn Abī al-Fadl Ahmad bin ‘Alī bin Hajar al-‘Asqalānī.

2. Metode Penulisan Kitab

Percetakan Shirkah Maktabah wa Matba’ah Mustafā al-Bābī al-Halbī wa Awlādihi di Kaherah Mesir telah menerbitkan edisi terakhir kitab Nayl al-Awtār ini. Kitab inilah yang menjadi pegangan penulis dalam menjelaskan riwayat Imam al-Shawkānī dan kitabnya Nayl al-Awtār. Kerana keterbatasan referensi, maka penulis tidak dapat melihat lebih banyak rujukan berkaitan dengan kitab Nayl al-Awtār cetakan terbaru.

Sebagaimana telah disebutkan sedikit (sebelum ini), bahawa diantara metode penulisan kitab Imam al-Shawkānī, selain menyebutkan kriteria hadith, dianya juga telah memaparkan kajian terhadap kualiti para periwayat dan pandangan-pandangan ulama terhadapnya. Itu ertinya kajian naqd al-sanad (al-khārijī) wa al-matan (al-dākhilī); kajian kritik terhadap sanad (luaran) dan matan (dalaman).

Kemudian perlu juga untuk disampaikan bahawa al-Shawkānī pula mensharah kitab al-Muntaqā al-Akhbār ini dengan merujuk ulama-ulama bahasa bila itu terasa perlu untuk diketahui. Hal ini supaya lebih memastikan makna dan erti daripada ayat-ayat tertentu, baik secara lughawiy (etimology) maupun istilāhiy (terminology).

Yang tak kalah pentingnya ialah dalam penjelasan istinbāt al-ahkām, sang pengarang menghuraikan kaedah pengambilan hukumnya dengan (turut) meletakkan pendapat-pendapat ulama mazhab, serta perkataan sahabat dan tabi’in. Menariknya pula, disebut mereka yang sepakat dan mereka yang tidak.

Adapun gaya penulisan kitab, sepertimana kitab-kitab hadith ahkam lainnya, al-Shawkānī memulai penjelasan daripada kitāb al-tahārah (j. 1. h. 24), kitāb al-tayammum (j. 1. h. 300), kitāb al-nifās (j. 1. h. 331), kitāb al-salāh (j. 1. h. 333), abwāb al-ādhān (j. 2. h. 35), abwāb satr al-‘awrah (j. 2. h. 68), kitāb al-libās (j. 2. h. 91), dan seterusnya perbahasan-perbahasan lain seperti puasa, zakat, haji, umrah dan ramai lagi. Wallahu a’lam.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar