Senin, 10 November 2008

GHARIB AL-HADITH
Oleh: Abdul Haris
IGB 080005


MUKADDIMAH

Ketika bekecimpung dalam ilmu hadith, mesti terlebih dahulu memahami kata-kata yang dikandungi dalam hadith tersebut. Ilmu ini sangat kuat hubungannya dengan ilmu bahasa arab. Jika diterjemahkan ke dalam bahsa melayu, kata gharib mempunyai makna “benda yang asing” atau “yang tidak biasa”. Dalam perbahasan ini, Gharib al-Hadith merupakan salah satu cabang ilmu hadith yang mempelajari kata-kata yang sukar difahami maknanya dalam matan hadith. Ilmu ini sangat diperlukan bagi mendalami ilmu hadith. Terutamanya dalam meriwayatkan hadith. Bagaimana seseorang boleh menyampaikan hadith itu kalau ia sendiri tidak boleh memahaminya?

Pada masa permulaan islam, para sahabat tidak begitu merasakan adanya sesuatu yang asing dalam perkataan (hadith) Rasulullah SAW. Kerana pada masa itu, bangsa arab berada pada punca kemajuan dalam bahasa mereka. Bahkan di setiap tahunnya diadakan kejohanan menulis syi’r dari setiap kabilah arab. Seandainya didapati kata-kata yang sukar, mereka boleh bertanya langsung kepada Rasulullah SAW.

Namun tidak demikian dengan umat sesudah mereka bahkan setelah masuknya bangsa selain arab ke agama islam. Percampuran “ajam” dengan bangsa arab menjadi salah satu penyebab utama banyaknya didapati kata-kata yang asing dalam hadith tersebut. Wajar bila orang “ajam” lebih banyak menemui kata-kata gharib dalam hadith jika dibandingkan dengan orang Arab. Biasanya, orang ajam yang bercampur dengan tempatan hanya akan mempelajari bahasa yang menjadi keperluan sehari-hari. Begitulah dari masa ke semasa sehingga dirasakan betapa pentingnya memahami lafaz-lafaz yang asing ini. Oleh itu, banyak dikalangan ulama yang menulis dan menjelaskan makna dari kata-kata yang asing, bahkan menjelaskan semua isi kandungan hadith. Ulama hadith dan bahasa arab mulai menyumbang karya dalam berkhidmat kepada ilmu ini pada akhir abad ke dua dan awal abad ke tiga Hijrah.


KARYA-KARYA YANG DIHASILKAN DALAM BIDANG INI

Pertama sekali menulis bidang ini adalah Abu ‘Ubaidah Ma’mar bin al-Muthannā al-Tamimiy dan Abu Adnan al-Sulamiy Abdurrahman bin Abdul A’la. Kemudian datang setelahnya Nadhr bin Syumail, Muhammad bin al-Mustanir Quṭrub, Abu ‘Amru al-Syaibāniy, Ishak bin Mirar, Abu Zaid al-Anṣāriy Sa’id bin Aus, Abdul malik bin Qarib al-Aṣma’iy, Hasan bin Mahbub al-Sarrād dan lain-lain. Namun keberadaan karya-karya ini tidak banyak memberikan sumbangan yang memadai. Sehingga munculllah buku Gharib al-Hadith karangan Abu Ubaid al-Qāsim bin Sallām

Karya Abu Ubaid ini merupakan karya yang utama dalam bidang ini pada masanya. Ia menghabiskan umurnya dalam meneliti dalam masa empat puluh tahun seperti yang dikatakannya. Ini tidak berlebihan. Kerana ia memerlukan penelitian hadith Rasulullah SAW., Athār sahabat dan tabi’in yang sangat banyak dan terpisah-pisah. Menjelaskan sanad dan para perawinya. Kitab ini menjadi satu-satunya karya gharib al-hadith yang menjadi rujukan utama sehingga datang masa Abu Muhammad Abdullah bin Muslim bin Qutaibah al-Dainūriy dan menulis karya tersohor iaitu kitab Fi Gharib al-Hadith wa al-Athār. Metode penulisan kitab ini masih seperti karya Abu ’Ubaid, akan tetapi penulisnya tidak lagi mencantumkan mana-mana kalimat yang sudah ada pada karya Abu ’Ubaid. Kalaupun ada, akan diberi penjelasan yang lebih luas, sanggahan atau komentar. Sebab itulah karya ini seiras dengan karya Abu ’Ubaid, hanya saja ia lebih besar.

Pada masa ini, Imam Ibrahim bin Ishak al-Harbiy juga menulis kitab yang diberi nama Fi Gharib al-Hadith. Kitab ini mempunyai perbahasan yang sangat luas. Dijelaskan sanad-sanad dan matan hadith dengan lengkap walaupun di dalamnya hanya ada satu kalimat gharib sahaja. Oleh itu, karya ini sangat besar dan berjilid-jilid. Namun sangat disayangkan karena perbahasan yang sangat luas, karya ini banyak ditinggalkan orang.

Masih banyak lagi ulama yang menulis bidang ini diantaranya, Syamir bin Hamdawaih, Abu al-’Abbās Muhammad bin Yazid al-Thumāliy yang dikenali dengan al-Mubarrad, Abu Bakr Muhammad bin Al-Qāsim al-Anbāriy, Ahmad bin Hasan al-Kindiy, Abu Umar Muhammad bin Abdul Wahid al-Zahid (kawan Tha’lab) dan masih banyak lagi dari kalangan ulama bahasa, Nahwu, Fikh dan Hadith. Kemudian pada tahun 360 H. Imam Abu Sulaiman al-Khattābiy al-Bustiy mengarang kitabnya Fi Gharib al-Hadith dengan mengikut metode Abu ’Ubaid dan Ibn Qutaibah.

Menurut Ibn al-Athir yang menjadi rujukan utama penulis, tiga karya ini (Abu ’Ubaid, Ibn Qutaibah dan al-Khāttabiy), merupakan induk karya dari semua karya-karya yang sudah ada. Namun kelemahan yang ditemui, belum ada didapati susunan yang ”praktis” untuk dijadikan rujukan melainkan karya al-Harbiy. Seorang peneliti akan mengalami kesukaran bagi menemukan hadith yang mengandungi kalimat gharib tersebut. Sehingga dalam pencarian satu hadith, peneliti harus membuka semua buku. Problema ini terus berlanjutan sehingga Imam Abu ’Ubaid Ahmad bin Muhammad al-Harawiy mengarang kitab al-Sāir fi al-jam’ bain Gharibay al-quran wa al-Hadith. Karya ini ditulis dengan susunan yang praktis dan berbeza dari karya-karya sebelumnya. Sebab kemudahan inilah karya ini banyak tersebar di kalangan ulama dan menjadi rujukan utama. Pada akhir huraiannya mengenai Al-Harawiy ia berkata ”kitab al-Harawiy mudah dan praktis”

Setelah imam al-Harawi, al-Zamakhsyariy juga menyumbang karya yang diberi nama al-Fāiq Fi Gharib al-Hadith. Setelahnya, Imam Abi Musa al-Aṣfahāni menulis al-Mughith Fi Gharib al-Quran wa al-Hadith. Dalam kerya in disenaraikan apa-apa yang ditinggalkan oleh al-Harawiy sehingga menghasilkan karya yang sebanding denga karya al-Harawiy. Kemudian pada zaman yang sama Abu al-Farj al-jauziy juga menulis karya dibidang ini. Menurut Ibn Athir, karya Ibn Jauziy ini adalah ringkasan dari karya al-Harawiy.


KITAB AL-NIHᾹYAH DIANTARA KARYA-KARYA GHARIB AL-HADITH

Diatas telah banyak dibincangkan mengenai karya-karya gharib al-hadith. Sebenarnya masih banyak lagi karya-karya yang belum penulis senaraikan disini. Pada tajuk ini akan diperkenalkan seorang penulis dan karyanya yang dianggap monumental dan paling baik diantara karya-karya lain.

A. Nama dan Lahir dan Wafatnya

Dia adalah al-Mubārak bin Muhammad bin Muhammad bin Abdul Karim bin Abdul Wahid al-Syaibāniy al-Jazariy al-Muṣiliy al-Syafi’iy, Abu al-Sa’ādāt Majd al-Din dikenal dengan nama Ibn al-Athir. Lahir tahun 544 H., besar di Jazirah belajar disana kemudian pindah ke Mauṣil. Ia wafat pada hari Khamis akhir bulan Dzulhijjah tahun 606H.

B. Guru dan Muridnya

Gurunya dalam ilmu Nahwu dan Bahasa Arab adalah Naṣih al-din Abu Muhammad Sa’id bin al-Mubārak bin ’Ali bin la-Duhān al-Baghdādiy dan Abu al-Haram Makkiy bin Rayyān bin Syabbah bin Ṣalih.

Dia juga belajar Nahu dan Hadith kepada Abu Bakr Yahya bin Sa’dūn al-Qurtubiy. Di Mauṣil dia juga belajar kepada banyak ulama diantaranya, Abu al-Faḍl Abdullah bin Ahmad al-Ṭūsiy. Di Baghdād dia berguru kepada Abu al-Qāsim sahabat Ibn al-Khal dan masih banyak lagi.

Diantara muridnya adalah anaknya sendiri, Syihab al-Ṭusiy Abu al-Fath Muhammad bin Mahmud dan masih banyak lagi.

C. Karya-karyanya

1. Al-Nihāyah fi Gharib al-Hadith Wa al-Athār.
2. Jami’ al-Uṣūl Fi Ahādith al-Rasūl.
3. Al-Syafi Syarh Musnad al-Imam al-Syafi’i.
4. Al-Mukhtār Fi Manāqib al-Akhbār.
5. Al-Badi’ Fi al-Nahwi.
6. Al-Bāhir Fi al-Furūq, dan lain-lain.

D. Kitab Al-Nihayah

Karya ini ditulis oleh Ibn al-Athir dengan menggabungkan dua karya besar iaitu al-Sāir fi al-jam’ bain Gharibay al-quran wa al-Hadith karya al-Harawiy dan al-Mughith Fi Gharib al-Quran wa al-Hadith karya Abi Musa al-Aṣfahāniy. Jika kita membuka kitab ini akan di temui tanda huruf ha’ (ﻫ) sebagai alamat bahwa kalimat itu diambil dari karya al-Harawi, sedangkan tanda (ﺱ) adalah alamat kata yang di nukil dari karya Abu Musa al-Asfahāniy.

Seperti namanya, kitab ini memang boleh dikatakan punca kepada ilmu Gharib al-Hadith. Sebab sesudahnya belum ada karya yang boleh menandingi karya ini. Sebab itulah karya ini banyak diteliti kembali oleh ulama-ulama sesudahnya. Diantara mereka ada yang meringkas, mensyarah, dan ada pula yang menjadikannya bait syi’r. Seikh Ali bin Hisyam al-Din al-Hindiy dan Isa bin Muhammad al-Ṣafawiy meringgkas karya ini hingga menjadi separuh dari karya aslinya. Jalāluddin al-Suyūtiy juga meringkas dengan nama al-Durr al-Nathir, Talkhis Ibn al-Athir di tambah perbahasan sederhana. Diantara ulama yang mensyarah kitab ini ialah Seikh Ṣafiyuddin Mahmud al-Armawiy. Manakala yang menjadikannya Nadhm Syi’r adalah Imāduddin Abu al-Fida’ Ismail bin Muhammad al-Hanbaliy dan diberi nama al-Kifāyah Fi Nadhm al-Nihāyah.

BIBLIOGRAFI

Al-Khatib, Ijaj , Usul al-Hadith, Cet: 2001 Dar al-Fikr, Lebanon hal. 181
‘Alwasy, Abdussalam bin Muhammad, Al-Jami’ fi Gharib al-Hadith, Cet: 1 Thn.,2001 Maktabah al-Rusyd Riyāḍ.
Ibn al-Athir, al-Nihāyah Fi Gharib al-hadith wa al-Athār, Cet: 2, Thn. 2002, Dar al-Kutub al-‘Ilmiyah, Lebanon.
Zawain, Ali,Mu’jam Muṣṭalahāt tauthiq al-Hadith, Cet :1,Thn.1986

Tidak ada komentar:

Posting Komentar