Kamis, 06 November 2008

IMAM AL-NAWAWI: KONTRIBUSINYA TERHADAP HADITH
Oleh: JANNATUL HUSNA
IGB080008


Latar Belakang Kajian

Kajian terhadap hadith selalu menemukan relevansi yang cukup baik. Meskipun ada sebahagian kalangan menganggap perbahasan terhadap turath Islam yang satu ini telah hangus terbakar, kerana keseringan perbahasan terhadapnya. Anggapan itu, pada satu sisi mungkin ada benarnya, iaitu bahawa karya-karya hadith telah banyak dihasilkan oleh ilmuan-ilmuan Islam terdahulu dan masa kini. Tetapi pada sisi lain, kajian terhadap warisan Nabawi ini menjadi sangat wajar kerana fungsinya sebagai panduan hidup dalam Islam. Interpretasi terhadap pertunjuk Nabi ini boleh ditafsir secara berbeza antara kelompok masyarakat salaf dengan kewujudan masyarakat moden hari ini.

Begitu pentingnya kajian terhadap hadith, ulama-ulama Islam telah menumpukan tenaga dan masanya untuk menyusun perbahasan hadith. Ada yang melalui pengumpulan hadith semisal Imam Bukhārī, Muslim, Abū Dāwūd dan ramai lagi. Dan ada pula yang berkhidmat dan mensharah kitab-kitab kumpulan hadith dimaksud, seperti Sāhib Fath al-Bārī yang mensharah kitab Sahīh al-Bukhārī (Ibnu Hajar al-`Asqalānī) dan Imam al-Nawawi yang menjelaskan pelbagai espektasi penafsiran daripada hadith-hadith yang terdapat dalam kitab yang ditulis oleh Imam Muslim bin al-Hajjāj. Oleh itu, berikut ini akan didedahkan ulasan tentang riwayat hidup Imam al-Nawawi, karya-karyanya dan kaedah penulisan kitab al-Minhāj-nya.


Nama dan Nasabnya

Dia adalah al-Imām al-Hāfiz al-Awhid al-Qudwah Shayk al-Islām Muhy al-Dīn Abū Zakariyā Yahyā bin Sharf bin Marī bin Hasan bin Husayn bin Hizām bin Muhammad bin Jum`ah al-Hizāmī al-Hawrānī al-Shāfi`ī. Kuniyahnya Abū Zakariyā, sementara gelaran (laqab-nya) iaitu Muhy al-Dīn.

Al-Hizāmī adalah penisbahan kepada datuknya yang paling atas. Terserlah juga seseorang dengan nama ini, Abū Ishāq Ibrāhīm bin al-Munzir bin Abd Allāh al-Munzir bin al-Mughīrah bin Abd Allāh bin Khālid bin Hizām bin Khuwaylid bin Asad al-Hizāmī al-Qurashiy. Ibrāhīm bin al-Munzir al-Hizāmī anak kepada Hakīm bin Hizām r.a. bukan anak kepada Khālid, demikian Abū Kāmil al-Basīrī menceritakan dalam kitabnya al-Mudāfāt yang turut dipersetujui oleh Ibn Hazm dalam kitabnya Jamharah Ansāb al-`Arab.

Adapun penisbahan kepada al-Hawrāni, ianya adalah kerana sebuah desa yang besar lagi luas di Damaskus tempat al-Nawawi dilahirkan. Umar bin al-Khattāb pernah mengangkat `Alqamah bin `Alāthah menjadi wali (pemimpin) di sana.

Kelahiran dan Pertumbuhan

Imam al-Nawawi dilahirkan pada pertengahan bulan Muharram tahun 631 di Nawā, sebuah desa di Hawrān. Laiknya anak-anak lain, Imam al-Nawawi tumbuh secara normal seperti anak-anak kecil kebanyakan. Namun ada sebuah kejadian menarik dimasa kecilnya. Ini pernah diceritakan oleh bapanya, bahawa tatkala sang Imam baru berusia tujuh tahun, pada 27hb Ramadan beliau tersentak daripada tidurnya pada pertengahan malam yang terakhir sambil berkata kepada ayahnya: duhai ayah, cahaya apakah gerangan yang memenuhi ruangan ini, maka terjagalah seluruh ahli rumahnya yang lain sambil berkata: belum pernah setiap kita melihat kejadian seperti ini, lalu ayahnya menjawab: sungguh aku telah tahu bahawasanya ianya adalah malam lailat al-qadr.

Dari cerita ini dapat disimpulkan bahawa pertanda baik telah bermula sejak Imam al-Nawawi (beliau) masih muda belia, dengan memperolehi malam yang kebaikan didalamnya dinilai lebih tinggi dan lebih hebat daripada seribu bulan. Sebagaimana firman Allah, innā anzalnāhu fī laylat al-qadr, wamā adrāka mā laylat al-qadr, laylat al-qadr khayr min alf shahr; sesungguhnya kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam qadar, adakah kamu tahu apakah malam qadar itu? Malam qadar itu lebih baik daripada seribu bulan (QS. Al-Qadr [97]: 1-3).

Menuntut Ilmu

Tatkala umur Imam al-Nawawi berumur 19 tahun bapanya mengajak untuk pergi ke Damaskus dan menetap di sana lebih kurang dua tahun lamanya sambil belajar di Madrasah al-Rawāhayh. Dia menghafal kitab al-Tanbīh selama mendekati empat bulan setengah. Dia sempat menghafal seperempat Kitab al-Muhazzab, kitab Sahīh dan kitab sharah gurunya, Kamāl al-Dīn Ishāq bin Ahmad al-Maghribi, untuk selanjutnya pergi berhaji ke Makkah bersama dengan bapanya. Beliau pun sempat bermukim di Madinah selama satu bulan setengah.

Diantara keistimewaan al-Nawawi iaitu mampu mempelajari dua belas subjek pelajaran dalam satu hari, dia sempat membaca al-Wasīt, al-Muhazzab, kitab al-Sahīhayn, al-Luma` karya Ibn Dabiy, ilmu Mantik, ilmu Tasrīf, Usūl al-Fiqh, Asmā` al-Rijāl dan Usūl al-Dīn.

Para Guru dan Murid

Imam al-Nawawi belajar banyak hal, diantaranya Fiqh, Usūl al-Fiqh, bahasa dan Hadīth. Hal ini dibuktikan dengan senarai-senarai guru Imam al-Nawawi seperti berikut:

Guru hadithnya iaitu:

1. al-Shayk al-Imām al-Qādī al-Khatīb `Imād al-Dīn ‘Abd al-Karīm bin al-Qādī Jamāl al-Dīn ‘Abd al-Samad bin Muhammad yang lebih popular dengan nama Ibn al-Harastānī;
2. Sharf al-Dīn Abd al-`Azīz bin Muhammad bin ‘Abd al-Muhsin al-Ansārī al-Awsī al-Dimashqiy;
3. al-Hāfiz al-Zayn Khālid bin Yūsuf bin Sa`d bin Hasan bin Mufrij Abū al-Baqā` al-Nābilisī;
4. Ibn Burhān al-`Adl al-Sadr Radiy al-Dīn Abū Ishāq Ibrāhīm bin Abī Hafs ‘Umar bin Mudar bin Fāris al-Mudarī al-Wāsitī al-Saffār;
5. al-Imām al-Hāfiz al-Mutqin al-Muhaqqiq al-Dābit al-Zāhid al-Wara` Diyā` al-Dīn Abū Ishāq Ibrāhīm bin `Īsā al-Murādī al-Andalusī;
6. Zayn al-Dīn Abū al-`Abbās Ahmad bin Abd al-Dā`im bin Ni`mah bin Ahmad bin Muhammad bin Ibrāhīm, dan masih ramai lagi.

Diantara guru fiqhnya iaitu:

1. al-Imām al-`Allāmah al-Faqīh al-Muftī Kamāl al-Dīn Abū Ibrāhīm Ishāq bin Ahmad bin `Uthmān al-Maghribī;
2. al-Shaykh al-Imām al-`Allāmah Muftī al-Shām Kamāl al-Dīn Abū al-Fadā`il Sallār bin al-Hasan bin `Umar bin Sa`īd al-Abilī;
3. al-Imām Faqīh al-Shām Abū Muhammad Abd al-Rahmān bin Ibrāhīm al-Fizārī al-Shāfi`ī Tāj al-Dīn.

Sedangkan gurunya di bidang Usūl al-Fiqh pula, iaitu al-Qādī Abū al-Fath Kamāl al-Dīn `Umar bin Bundār bin `Umar al-Taflīsī. Sementara gurunya di bidang bahasa yang terserlah, Abū al-`Iyās Jamāl al-Dīn Ahmad bin Sālim al-Misrī al-Nahwī dan Imam al-`Allāmah Hujjat al-`Arab Jamāl al-Dīn Abū Abd Allāh Muhammad bin Abd Allāh bin Mālik al-Tā`ī al-Jiyyānī

Sebagai seorang yang mempunyai pengaruh ilmu pengetahuan, maka banyaklah para murid yang menuntut kepada Imam al-Nawawi, diantara mereka ialah:

1. Al-Hāfiz al-Zāhid `Ilā` al-Dīn `Alī bin Ibrāhīm bin Dāwūd bin Sulaymān Abū al-Hasan bin al-`Atār al-Shāfi`ī;
2. al-Imām al-Hāfiz Muhaddith al-Shām Jamāl al-Dīn Abū al-Hajjāj Yūsuf bin al-Zakī Abd al-Rahmān bin Yūsuf al-Mizzī al-Qudā`ī;
3. Muhammad bin Abī Bakr bin Ibrāhīm al-Qādī Shams al-Dīn bin al-Naqīb al-Shāfi`ī al-Dimashqī;
4. al-Qādī Sulaymān bin Hilāl bin Shibl bin Fallāh bin Hasīb al-Ja`farī al-Hawrānī—yang juga digelari dengan Sadr al-Dīn;
5. Sālim bin Abd al-Rahmān bin Abd Allāh al-Shāfi`ī Amīn al-Dīn bin Abī al-Durr
6. Abū al-`Abbās Ahmad bin Farh al-Ishbīlī;
7. Ahmad al-Darīr al-Wāsitī Abū al-`Abbās yang juga digelari dengan al-Khallāl;
8. Shihāb al-Dīn Abū al-`Abbās Ahmad bin Muhammad bin Salmān bin Hamāyil al-Ja`farī, dan lain-lain.

Karya-karya Intelektual

Diantara karya-karya intelektual Imam al-Nawawi ialah sebagai berikut:

1. al-Rawdah; Mukhtasar al-Sharh al-Kabīr karangan al-Rāfi`ī. Kitab ini mulai ditulis pada hari Kamis 25hb Ramadān tahun 666 dan selesai pada hari Ahad 15hb Rabī` al-Awwal tahun 669;
2. Sharh Sahīh Muslim, yang beliau namakan dengan al-Minhāj. Kitab inilah yang insha Allah akan menjadi persampelan penulis dalam makalah ini;
3. Sharh al-Muhazzab, yang beliau namakan dengan al-Majmū`, seperti al-Minhāj Mukhtasar al-Muharrar, sekarang lebih popular dengan `Umdat al-Tālibīn wa al-Mudarrisīn wa al-Muftīn;
4. Tahdhīb al-Asmā` wa al-Lughāt;
5. Riyād al-Sālihīn;
6. al-Adhkār, sebuah kitab yang mendedahkan kumpulan bentuk zikir dan doa serta etika keduanya menurut al-Quran dan al-Hadīth dan perbahasan lainnya;
7. Nukt al-Tanbīh, merupakan kitab yang terawal yang beliau tulis;
8. al-Īdāh fī Manāsik al-Hajj;
9. al-Tibyān fī Adāb Hamalat al-Qur`ān;
10. Mukhtasar wa Sharh al-Tanbīh, beliau juga menamakannya dengan Tuhfat al-Tālib al-Nabīh;
11. Sharh al-Wasīt atau al-Tanqīh;
12. Nukt `alā al-Wasīt;
13. Muhammāt al-Ahkām;
14. al-`Umdah fī Tashīh al-Tanbīh;
15. al-Tahrīr fī Lughāt al-Tanbīh;
16. Nukt al-Muhazzab;
17. Mukhtasar al-Tadhnīb karangan al-Rāfi`ī yang beliau namakan dengan al-Muntakhab;
18. Tabaqāt al-Shāfi`iyyah;
19. Mukhtasar al-Tirmidhī;20. Manāqib al-Shāfi`ī;
21. al-Taqrīb fī `Ulūm al-Hadīth wa al-Irshād fīhi;
22. al-Khulāsah fī al-Hadīth;
23. Mukhtasar Mubhamāt al-Khatīb;
24. Bustān al-‘Ārifīn;
25. Ru`ūs al-Masā`il;
26. al-Usūl wa al-Dawābit;
27. Qismat al-Qanā`ah wa Mukhtasaruhu, menjadi kitab terakhir yang beliau karang. Adapun tulisan-tulisan al-Nawawi lainnya masih banyak lagi yang tidak mungkin tersenaraikan disini.

Kewafatan

Imam al-Nawawi meninggal dunia pada malam Rabu tanggal 24 Rajab tahun 676, dan dimakamkan di Nawa, Hawrān Damaskus. Beliau mencecah usia hidup selama 45 tahun. Banyak pelayat yang merasa kehilangan atas kepergian beliau, baik dari kelompok yang mencela kredibiliti semasa hidupnya, apatahlagi kaum yang sememangnya telah memuji keilmuan dan peribadi Imam al-Nawawi. Majoriti umat Islam telah merasakan kedukaan yang cukup mendalam (ta`assufan balīghā) di seantaro negeri. Beliau disembahyangkan di Masjid Raya Damaskus, semoga arwahnya ditempatkan pada posisi ashāb al-sālihīn, al-siddīqīn dan para Anbiyā` serta utusan Allah lainnya.

Pujian Ulama Terhadap Imam al-Nawawi

Imam al-Nawawi adalah seorang yang sangat zuhud dan qanā`ah, teladan dalam kewara`an, meninggalkan kelezatan dunia, pengikut aliran salaf dari kelompok Ahl al-Sunnah wa al-Jamā`ah, sabar dalam menjalani kehidupan, sederhana dalam makanan dan pakaian. Bahkan dia tidak makan dan minum dalam sehari-semalam kecuali setelah paruh terakhir waktu malam (‘ashā`), dia juga tidak mencampurkan dua sambal sekaligus dan tidak minum kecuali sekali sahaja waktu sahur.

`Ilā` al-Dīn bin al-`Atār dalam kitab al-Manhaj al-Sawiy menulis, “…perkhabaran tentang kezuhudan, kewara`an dan kamuliaannya (Imam al-Nawawi) terserlah cukup baik”.

Imam al-Dhahabī, dalam Tadhkirat al-Huffāz mencatat bahawa terkumpul kesungguhan (mujāhadah) peribadi dan amal yang berhiaskan kewara`an dan murāqabah serta kesucian diri pada sosok seorang al-Nawawi. Dia juga seorang yang hāfiz dalam hadith dan funūn, dia pula seorang yang memahami ilmu rijāl (tokoh), ilmu kesahihan dan `ilal al-hadīth dan banyak lagi sisi-sisi keistimewaannya.


Kitab al-Minhāj Sharh Sahīh Muslim

Seperti telah disebutkan diatas, bahawa Kitab al-Minhāj Sharh Sahīh Muslim merupakan kitab yang terbesar yang pernah ditulis oleh Imam al-Nawawi bila dibandingkan dengan kitabnya yang lain. Kitab ini selesai ditulis 19hb Ramadān tahun 669. Salah sebuah percetakan yang turut menerbitkan kitab ini iaitu penerbit Dār al-Ma`rifah yang berada di Beyrūt, Lebanon. Untuk cetakan pertamanya dimulai pada tahun 1414 H bersamaan dengan tahun 1994. Terdiri daripada delapan belas juzuk, sekitar 9 mujalladāt kitab. Sepertinya edisi yang ditahqīq oleh al-Shayk Khalīl Ma`mūn Shikhā inilah yang terbaru daripada hasil percetakan kitab al-Minhāj Sharh Sahīh Muslim.

Diantara kaedah penulisan Kitab al-Minhāj Sharh Sahīh Muslim sebagaimana didedahkan oleh Imam al-Nawawi dalam bagian Mukaddimahnya, sepertimana berikut:

1. Beliau menjelaskan kaedah sīghah tahmmul wa al-adā`, adakah misalnya Haddathanā bererti sama dengan sīghah Akhbaranā;
2. Beliau turut mendedahkan persolan kepentingan dan keistimewaan al-Isnād (transmisi atau jalur para riwayat) dalam Islam (lihat pada bāb al-Isnād min Khāsat hādhihi al-Ummah), penjelasan tentang perkara ini semakin detail (muka surat 44) dengan didedahkannya berbagai sumber riwayat berhubungkait dengan permasalahan tersebut. Diantaranya riwayat Muhammad bin Sīrīn, “inna hādhā al-‘ilm dīn, fanzurū ‘amman ta`khudhūna dīnakum”, dan lain-lain;
3. Imam al-Nawawi juga menghuraikan pada pengantar kitabnya itu seputar perkara yang menjadi syarat Imam Muslim dalam kaedah kesahihan kitabnya;
4. Imam al-Nawawi pun menjelaskan jumlah hadith-hadith dalam kitab Sahīh Muslim yang tidak berulang-ulang, sebagaimana juga dia turut mendedahkan hadith Bukhārī;
5. Perkara yang terpenting juga yang dihuraikan oleh Imam al-Nawawi ialah pembagian dan karakteristik hadith Sahīh, Hasan, Da`īf dan istilah dalam ilmu hadith lainnya seperti al-Mawqūf, Mu`an`an, al-Tadlīs, I`tibār, Shāhid, Shādh, Munkar, dan lain sebagainya;
6. Sebelum Imam al-Nawawi menjelaskan lebih jauh sharahan kitab Sahih Muslim, terlebih dahulu beliau huraikan biografi Imam Muslim itu sendiri secara lengkap dan komprehensif (syumuli);
7. Kandungan isi Kitab al-Minhāj Sharh Sahīh Muslim dimulai dengan perbahasan kitāb al-Īmān pada juzuk pertama dan kedua;
8. Kemudian diiringi dengan juzuk ketiga yang membahas persoalan al-Tahārah dan al-Hayd;
9. Sementara juzuk keempat, perbahasan sembahyang (Kitāb al-Salāt) menjadi titik kulminasi utama, tanpa ada kajian lain;
10. Pada juzuk berikutnya, iaitu kelima perbahasan Salāt al-Musāfirīn dan al-Masājid;
11. Selanjutnya pada juzuk keenam terdapat perbahasan mengenai Salāt al-Istisqā` (sembahyang meminta hujan), al-Jumaat, al-Janā`iz (sembahyang mayat), al-Kusūf (sembahyang gerhana), Salāt al-`Īdayn (sembahyang dua hari raya) dan Fadā`il al-Qurān (keutamaan al-Quran);
12. Untuk perbahasan pada juzuk yang ketujuh, al-Nawawi pula menghurai perkara al-Siyām (puasa) dan al-Zakāh
13. Juzuk kedelapan mengandungi perbahasan al-I`tikāf dan al-Hajj;
14. Perbincangan mengenai seluk beluk kitāb al-Nikāh (perkahwinan) dan permasalahan yang melingkupinya terdapat pada juzuk kesembilan;
15. Pada juzuk kesepuluh wujud perbahasan mengenai al-Radā`ah (penyapihan terhadap anak), al-Talāq (perceraian), al-`Itq (pemerdekaan terhadap hamba sahaya), al-Li`ān, al-Musāqāh dan al-Buyū` (jual beli). Dan seterusnya, sampai kepada juzuk yang kedelapan belas yang terakhir terdapat huraian mengenai al-Tafsīr, al-Zuhd wa al-Riqāq (zuhud dan kasih sayang), al-Fitan wa Ashrāt al-Sā`ah (fitnah dan tanda-tanda akhir zaman atau hari kiamat);
16. Dalam Muqaddimah kitabnya (pada juzuk yang pertama), Imam al-Nawawi terlebih dahulu juga mendedahkan pentingnya bismillah supaya tidak kehilangan barakah pada setiap amalan kebaikan. Hadith yang beliau jadikan sandaran tentu hadith daripada Imam Muslim sendiri dengan dikuatkan oleh hadith-hadith Imam lainnya;
17. Setiap menjelaskan ayat ataupun kutipan pendapat pakar tertentu, maka al-Nawawi akan mencantumkan daftar kutipan (rujukan) sehingga memudahkan kepada pembaca untuk melacak kepada sumber asalnya. Seperti misalnya pada muka surat 6, beliau mengutip ayat 4 daripada QS. Al-Inshirāh, kemudian al-Risālah karangan Imam al-Shāfi’ī, dan begitulah seterusnya;
18. Masih dalam Muqaddimah kitabnya, al-Nawawi merasa perlu (agaknya) mengemukakan perkara pentingnya meriwayatkan hadith daripada orang-orang yang thiqah dan menjauhkan diri daripada orang-orang yang pembohong (tark al-kadhdhābīn), Nabi s.a.w. mengingatkan (muka surat 22) “man haddatha ‘annī bi hadīth yurā annahū [kadhib] fahuwa ahad al-kādhibīn”;
19. Sebagaimana tradisi imam-imam lain dalam mensharah sebuah kitab hadith, setiap shawāhid (hadith-hadith pendukung) dicantumkan dan dihuraikan secara mendalam, dari setiap masing-masingnya. Demikian juga dengan al-Nawawi;
20. Penjelasan rujukan yang masih berbentuk manuskrip (al-makhtūtāt) dan telah dicetak (al-matbū’ah) pun al-Nawawi jelaskan dengan sangat baik (lihat muka surat 50, 51 dan ramai lagi);
21. Sebelum memasuki penjelasan “kitāb al-īmān” atau kegiatan sharahan yang sebenar, al-Nawawi menghuraikan perkara yang amat penting, iaitu bolehnya berhujjah kepada hadith mu’an’an (sihhat al-ihtijāj bi al-hadīth al-mu’an’an). Begitu “mendesak” atau urgen-nya masalah ini, maka beliau secara detail menjelaskannya sepanjang yang mungkin (lihat muka surat 88-101). Dan masih banyak kaedah-kaedah lain dan pendekatan yang Imam al-Nawawi ambil dalam penulisan kitabnya. Wallahu a’lam.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar